Lawatan Jinping beri impak positif kepada ekonomi Malaysia

Lawatan Jinping beri impak positif kepada ekonomi Malaysia

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lawatan Pre­si­den China, Xi Jinping ke Malaysia bermula hari ini bakal memberi impak positif ke­pada ekonomi negara, selain terus mem­perkukuh hu­bungan dua hala Putraja­ya-Beijing.

Di tengah-tengah situa­si kritikal ketika dunia dikejutkan de­­ngan pe­rang perdagangan an­tara China dan Amerika Syarikat (AS) ekoran pelaksa­naan tarif tim­bal balik, kehadiran Jinping di negara ini di­jang­ka membuka ruang dagang baharu bagi negara itu dan Malaysia.

Penganalisis ekonomi melihat Jinping boleh menggunakan Malaysia selaku Pengerusi ­ASEAN untuk mene­roka pasaran baharu, selain me­lobi soko­ngan ke atas China yang berdepan tarif sehingga 145 peratus, selain menjadikan rantau ini sebagai platform kepada produk dan syarikat China meneroka pasaran dunia.

Malaysia pula dikenakan tarif sebanyak 24 peratus, Vietnam (46 peratus) dan Kemboja (49 peratus). Sebagai tindak balas, China mengenakan tarif seba­nyak 125 peratus produk AS.

Selain Malaysia, Jinping turut akan melawat Vietnam dan Kemboja ketika AS melaksanakan penangguhan selama 90 hari pelaksanaan tarif kepada negara ASEAN, dan banyak pihak melihat ia peluang China untuk mencari rakan dan pasaran baharu sebelum tarif berkuat kuasa.

China adalah rakan daga­ngan terbesar negara sejak 2009 dengan lebihan dagangan keseluruhan Malaysia pada 2024 berjumlah RM136.88 bilion, lebihan dagangan untuk tahun ke-27 berturut-turut sejak 1998.

Malaysia mengeksport barangan seperti minyak sawit dan produk berasaskan sawit, barangan elektrik dan elektronik (E&E), gas asli cecair (LNG), getah, logam dan bahan kimia manakala China mengimport produk pengguna, keluli dan logam.

China juga antara pelabur asing terbesar di Malaysia termasuk projek Zon Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dianggarkan bernilai AS$10.6 bilion serta pelaburan dalam sektor hartanah, tenaga dan teknologi.

Menurut Profesor Kewa­ngan dan Keusahawanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad, lawatan bersejarah Jinping itu peluang strategik bagi Malaysia untuk memperkukuh kedudukan negara dalam landskap ekonomi serantau.

“China telah menjadi rakan strategik utama Malaysia sejak era kepimpinan Tun Abdul Razak, dan lawatan ini mempererat kerjasama dalam pelbagai bidang, khususnya di bawah inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

“Antara projek utama yang dijangka menerima suntikan semangat baharu termasuk projek ECRL serta inisiatif ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ yang bertujuan meningkatkan integrasi ekonomi antara kedua-dua negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Rizal Palil pula, lawatan Jinping bakal membawa pelaburan yang lebih tinggi dari China, selain membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.

Bagaimanapun katanya, Malaysia perlu berhati-hati dalam sebarang rundingan agar tidak dilihat terlalu cenderung kepada China.

“Ini kerana, rundingan agak berisiko dalam perspektif negara-negara yang anti China. AS juga sekarang ini sedang mengalami tekanan dalaman dan luaran dari segi ekonomi. Perang ekonomi ini perlu di­selesaikan dengan cara yang lebih berhemah,” katanya.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad pula berpanda­ngan, lawatan Jinping mencerminkan penghormatan tinggi China terhadap Malaysia sebagai antara rakan dagang utama.

Menurut beliau, rundi­ngan antara kedua-dua negara berpotensi membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik yang lebih seimbang, seiring dengan kebangkitan semula ekonomi Asia.

“Ia memberi isyarat bahawa kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China berada di landasan kukuh, khususnya ketika negara-negara Asia sedang mencari ruang pertumbuhan baharu berikutan tekanan tarif antarabangsa,” katanya

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, UiTM Puncak Alam, Dr. Mohamad Idham Md. Razak tidak menolak kemungkinan ASEAN mening­katkan kerjasama dengan negara blok BRICS (turut dianggotai China) sebagai strategi jangka panjang bagi mengimbangi dominasi ekonomi Barat.

“Langkah China ini berkemungkinan usaha menarik sokongan serantau terhadap pembentukan blok ekonomi baharu yang dicadangkan oleh BRICS sebagai alternatif kepada sistem yang dikawal kuasa Barat.

“Namun, hubungan dagang dengan AS masih penting dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN