DAMSYIK: Krisis kecairan memaksa pihak berkuasa Syria mengehadkan pengeluaran tunai secara drastik, menyebabkan kebanyakan penduduk bergelut untuk memenuhi keperluan hidup.
Sejak penggulingan Presiden Bashar al-Assad pada Disember lalu, Syria bergelut untuk bangkit semula selepas hampir 14 tahun perang saudara, di mana sektor perbankan turut tidak terkecuali.
Sebelum digulingkan, sekutu rapat Bashar iaitu Russia memonopoli percetakan wang kertas Syria.
Sejak kejatuhan rejim itu, pihak berkuasa baharu hanya sekali mengumumkan menerima penghantaran wang kertas dari Moscow.
Di negara yang mempunyai kira-kira 1.25 juta penjawat awam, kakitangan kerajaan terpaksa beratur di salah satu daripada dua bank milik negara atau ATM berkaitan untuk membuat pengeluaran, yang dihadkan sekitar 200,000 paun Syria – kira-kira AS$20 (RM88.00) sehari mengikut kadar pasaran gelap.
Malah, dalam sesetengah kes, mereka terpaksa mengambil cuti sehari hanya untuk menunggu wang tunai.
Seorang penjawat awam, Afraa Jumaa berkata, sebahagian besar wang yang dikeluarkannya habis dibelanjakan untuk tambang pergi dan balik ke bank.
“Keadaan sangat sukar dan kami perlu keluarkan gaji secepat mungkin. Tidak wajar untuk kami berulang berhari-hari ke bank hanya semata-mata untuk keluarkan jumlah sedikit,” katanya.
Seorang lagi penjawat awam, Muntaha Abbas berkata, beliau terpaksa berulang alik tiga kali untuk mengeluarkan keseluruhan gajinya sebanyak 500,000 paun Syria.
“Terdapat banyak mesin ATM di Damsyik, tetapi hanya sedikit yang berfungsi.
“Selepas menunggu selama lima jam, akhirnya jumlah yang boleh dikeluarkan hanyalah 200,000 paun,” katanya.
Nilai mata wang tempatan merosot teruk sejak perang saudara meletus pada 2011, ketika nilai satu dolar bersamaan 50 paun Syria.- AFP










