Kes penipuan dalam talian meningkat 13 peratus dalam tiga bulan

Kes penipuan dalam talian meningkat 13 peratus dalam tiga bulan

ROHAIMI MD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jenayah penipuan dalam talian di negara ini mencatatkan peningkatan sebanyak 12,110 kes dalam tempoh Januari hingga Mac lalu, berbanding 10,715 kes pada tempoh sama, tahun lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, jenayah e-dagang mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 19.8 peratus iaiu daripada 2,116 kes kepada 2,535 kes.

“Peningkatan ini berlaku memandangkan trend penggunaan platform dalam talian semakin meluas terutama menjelang sambutan Aidilfitri yang menyaksikan lebih ramai pengguna membuat pembelian secara digital.

“Sebanyak 5,214 kes membabitkan jenayah telekomunikasi, penipuan pinjaman tidak wujud (1,404 kes), jenayah e-kewangan (711 kes), pelaburan tidak wujud (2,026 kes) dan love scam ( 220 kes),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rohaimi berkata, perkembangan pesat teknologi maklumat dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) juga dilihat sebagai antara penyumbang kepada peningkatan kes-kes ini.

“Penjenayah kini turut memanfaatkan teknologi seperti penjana identiti digital palsu, laman web tiruan, perbualan automatik (chatbot) serta teknologi deepfake untuk memperdaya mangsa.

“AI generatif juga membolehkan penciptaan kandungan yang kelihatan sahih dan meyakinkan, sekali gus menyukarkan pengguna untuk membezakan antara komunikasi yang tulen dan yang bersifat penipuan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya meningkatkan tahap kewaspadaan dan sentiasa menyemak latar belakang individu atau entiti sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan atas talian.

“Pengguna digalakkan untuk merujuk portal rasmi seperti SemakMule milik PDRM serta mendapatkan maklumat terkini daripada laman sesawang JSJK dan agensi berkaitan,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN