KANGAR: Selepas berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Ketua PKR cabang Kangar dalam pemilihan parti itu semalam, Noor Amin Ahmad membidas pencabarnya, Gan Ay Ling agar bekerja buat parti selepas ini dan bukan untuk memperkuatkan diri sendiri.
Menurut Noor Amin, meskipun Ay Ling tewas dalam pemilihan parti penggal lalu, beliau tetap memberi ruang dengan melantiknya sebagai Naib Ketua cabang PKR Kangar namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan itu hanya memberi komitmen minima.
Katanya, Ay Ling juga sepatutnya bersama-sama memperkuatkan parti dan bergerak dengan jemaah khususnya di peringkat akar umbi.
“Jadi terpulanglah kepadanya kerana beliau (Ay Ling) pun sepatutnya kena bantu memperkuatkan parti dan bukannya memperkuatkan diri sendiri,” katanya.
Noor Amin mengulas sama ada beliau sedia bekerjasama dengan Ay Ling selepas ini susulan berjaya mengekalkan kemenangan sebagai Ketua PKR cabang Kangar.
Dalam pemilihan itu, Noor Amin memperolehi 1,295 undi sekali gus mengatasi Ay Ling yang mendapat 1,059 undi.
Bagaimanapun, calon daripada kem Noor Amin termasuk bagi jawatan Timbalan, Naib, Ketua Wanita dan kebanyakkan Ahli Jawatankuasa cabang Kangar yang bertanding dalam pemilihan tersebut tewas.
Noor Amin berkata, meskipun pasukannya tewas, beliau masih masih boleh melantik ahli jawatankuasa tambahan atas kapasiti sebagai ketua cabang bagi memperkuatkan struktur parti.
“Saya akan lihat balik supaya dapat membentuk pasukan yang mantap dan dapat bekerja untuk parti di peringkat cabang,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Amin berkata, kepimpinan parti itu juga diharap dapat membuat penambahbaikan selepas ini dengan mengubah perlembagaan bagi mengelakkan calon bertanding membawa masuk ramai ahli baharu dari luar untuk menguatkan sokongan mereka.
Katanya, tujuan pemilihan parti adalah untuk menguatkan akar umbi yang seharusnya datang daripada lokaliti setempat.
“Jadi situasi ini perlu dilihat balik kerana kita kena selaraskan agar sistem penyampaian perkhidmatan yang disampaikan dapat memberi manfaat buat masyarakat,” katanya.-UTUSAN