Keputusan 10A rezeki tak diduga

Keputusan SPM 10A rezeki tak diduga

10A
ISMA Daniel Khairul Syakirin menerima sumbangan sempena Program Hadiah Kecemerlangan SPM 2024 YKM, dekat Kampung Tok Muda, Kapar di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah menyifatkan keputusan 10A yang diperolehinya sebagai satu kejutan kepada sekolah dan keluarganya.

Isma Daniel Khairul Syakirin, 18, berkata dia menganggap ia sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka kerana tidak pernah mendapat keputusan sedemikian dalam peperiksaan-peperiksaan sebelum itu.

“Pernah dapat 10A dalam ujian awal tahun lepas, namun ia tidak mengikut format SPM yang sebenar. Malah, dalam peperiksaan-peperiksaan lain, saya kerap gagal terutama Bahasa Inggeris.

“Malah, dalam peperiksaan percubaan pun saya cuma dapat satu A sahaja. Namun, saya bertekad untuk perbaiki kelemahan dan membuat persiapan yang sepatutnya sebelum menduduki SPM,” kata anak yatim itu yang kematian bapanya akibat Covid-19 pada 2022.

Tambahnya, pemergian arwah bapanya, Allahyarham Khairul Syakirin juga menjadi titik tolak untuk dia belajar bersungguh-sungguh selain menyedari keperluan untuk lulus subjek-subjek tertentu dalam SPM.

Terdahulu, dia dan keluarga menerima kunjungan Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob yang menyampaikan sumbangan sebagai penghargaan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) ke atas keputusan cemerlang yang diperolehinya.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi YKM berkata, Isma Daniel seorang anak yatim yang dipantau atau dijaga oleh yayasan berkenaan dan menganggap keputusan diperolehinya itu lebih baik berbanding peperiksaan sebelum ini.

“Isma Daniel salah seorang daripada enam yang mendapat keputusan SPM 2024 6A dan ke atas. Terdapat seramai 36 anak-anak yang dibantu oleh YKM menduduki peperiksaan itu dan dia mendapat keputusan tertinggi.

“Untuk yang mendapat keputusan cemerlang, kita berikan sumbangan sebanyak RM500 selain bantuan bulanan sebanyak RM200 untuk 16 tahun ke bawah dan RM250 untuk 17 tahun dan ke atas,” ujarnya.

Katanya lagi, YKM membantu lebih 1,000 pelajar di seluruh negara yang kehilangan ibu bapa atau kedua-duanya ketika pandemik Covid-19 sehingga mereka masuk ke institusi pendidikan tinggi (IPT) pada peringkat ijazah pertama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN