Jenama terkenal kena tempias tarif Trump

Jenama terkenal kena tempias tarif Trump

SEORANG wanita berjalan melepasi sebuah kedai Apple di Beijing, China.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pasaran saham global merudum sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tarif baharu besar-besaran yang dijangka meningkatkan harga dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi Washington serta negara dunia lain.

Pasaran saham Asia-Pasifik jatuh buat hari kedua berturut-turut, susulan kejatuhan indeks S&P 500 di AS yang mengalami hari terburuk sejak krisis ekonomi akibat Covid-19 pada 2020.

Di Rumah Putih, Trump mendakwa ekonomi AS akan melonjak dan berkembang rancak hasil tarif minimum 10 peratus yang dikenakan ke atas semua import global, sekali gus meningkatkan hasil persekutuan dan membawa pulang pembuatan besar ke tanah air.

Trump turut mempertahankan tindakannya, menyamakan tarif itu dengan ‘pembedahan besar’ yang perlu untuk memulihkan ekonomi sambil menyatakan kesediaan untuk berunding dengan rakan dagang hanya jika ditawarkan sesuatu yang benar-benar luar biasa.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyeru syarikat Eropah supaya menggantung pelaburan yang dirancang di Washington selepas pelan baharu Trump diumumkan pada Rabu, meletakkan kadar tarif AS pada paras tertinggi dalam lebih 100 tahun.

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) melahirkan kebimbangan mendalam, sambil menganggarkan jumlah perdagangan global boleh merosot sebanyak satu peratus tahun ini.

Pedagang turut menyuarakan kebimbangan bahawa tarif tersebut boleh meningkatkan inflasi dan melambatkan pertumbuhan ekonomi.

Pada Jumaat pagi, indeks penanda aras Nikkei 225 Jepun jatuh 2.7 peratus, manakala ASX 200 Australia susut 1.6 peratus.

Pada Khamis, indeks S&P 500 yang menjejak prestasi 500 syarikat terbesar AS menjunam 4.8 peratus, menghapuskan nilai pasaran sebanyak AS$2 trillion (RM8.84 trilion).

Indeks Dow Jones jatuh sekitar empat peratus manakala Nasdaq merosot hampir enam peratus.

Kejatuhan pasaran saham AS telah bermula sejak pertengahan Februari akibat ketidaktentuan berkenaan perang perdagangan dengan dolar AS turut melemah berbanding beberapa mata wang utama dunia.

Di Eropah, indeks FTSE 100 UK turun 1.5 peratus manakala pasaran utama Eropah lain turut mencatatkan penurunan.

SAHAM JENAMA TERKENAL MERUDUM

Beberapa syarikat pengguna utama seperti Nike, Apple dan Target menyaksikan penurunan ketara dalam harga saham mereka, masing-masing susut lebih sembilan peratus.

Syarikat automotif Stellantis pengeluar jenama Jeep dan Fiat pada Khamis mengumumkan pemberhentian sementara pengeluaran di kilang mereka di Toluca, Mexico dan Windsor, Kanada.

Langkah itu akan menjejaskan 900 pekerja di lima kilang di AS yang membekalkan komponen kepada kemudahan berkenaan.

Saham Nike yang banyak menghasilkan pakaian di Asia menjunam 14 peratus, manakala saham Apple yang bergantung kepada China dan Taiwan susut 9 peratus.

Syarikat runcit lain turut terjejas, dengan Target merosot sekitar 10 peratus.

Saham Harley-Davidson, yang pernah menjadi sasaran tarif balas EU semasa penggal pertama Trump, juga jatuh 10 peratus.

Di Eropah, saham Adidas susut lebih 10 peratus manakala Puma turun lebih sembilan peratus.

Dalam sektor barangan mewah, Pandora jatuh lebih 10 peratus manakala Louis Vuitton Moet Hennessy susut lebih tiga peratus selepas tarif dikenakan ke atas EU dan Switzerland.

“Peniaga runcit kini benar-benar mengalami kerugian besar kerana tarif ini diperluaskan ke negara-negara yang tidak kami jangka,” kata Ketua Strategi Global di Freedom Capital Markets, Jay Woods sambil menambah bahawa lebih banyak ketidaktentuan dijangka dalam masa terdekat.

Jelasnya, syarikat kini berdepan dilema sama ada menanggung kos tarif, berkongsi beban dengan rakan kongsi, atau memindahkan kos kepada pengguna, risiko yang boleh menyebabkan jualan merosot.

Ini boleh memberi kesan besar memandangkan perbelanjaan pengguna AS merangkumi sekitar 10 hingga 15 peratus daripada ekonomi dunia, menurut beberapa anggaran.

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney berkata, negaranya akan membalas dengan mengenakan tarif 25 peratus ke atas kenderaan buatan AS.

Bulan lalu, Trump mengenakan tarif 25 peratus ke atas Kanada dan Mexico, walaupun tiada tarif baharu diumumkan terhadap dua rakan dagang Amerika Utara itu pada hari Rabu.

Penganalisis dari Principal Asset Management menjangkakan pertumbuhan ekonomi Eropah boleh susut hampir satu mata peratusan akibat tarif ini, dengan kesan tambahan jika EU mengambil tindakan balas.

Di AS pula, kemelesetan mungkin berlaku tanpa langkah lain seperti pemotongan cukai besar-besaran yang turut dijanjikan Trump, menurut Ketua Strategi Global firma itu, Seema Shah.

Beliau berkata, sasaran Trump untuk merancakkan industri pembuatan akan mengambil masa bertahun-tahun untuk dicapai, jika ia benar-benar berlaku.

“Dalam jangka pendek, tarif tinggi ke atas import akan memberi tekanan serta-merta ke atas ekonomi, dengan manfaat yang terhad,” katanya.– AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×