KANGAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri mengesan terdapat segelintir peniaga cuba mengelirukan pengguna dengan menjual buah atas nama harumanis sedangkan ia bukan buah ikonik itu.
Berdasarkan tinjauan dan pemerhatian FAMA negeri bermula sejak awal tahun ini, terdapat pihak tidak bertanggungjawab dikesan menjual mangga jenis Nam Man dari Thailand namun mendakwa buah itu sebagai harumanis.
Justeru, FAMA menasihatkan pengguna agar tidak mudah tertipu dengan taktik tersebut.
Pengarah FAMA negeri, Mohd. Anzara Azizan berkata, buah dari Thailand itu dikesan dijual di gerai-gerai sepanjang laluan Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun.
Katanya, berdasarkan pemerhatian, terdapat sekitar 20 gerai beroperasi secara aktif di sepanjang laluan itu.
“Mangga jenis Nam Man yang didakwa sebagai ‘adik harumanis’ ini dijual pada harga belasan ringgit sahaja untuk sekilogram bagi menarik minat pelanggan.
“Malah, julat harga ditawarkan itu adalah sangat tidak munasabah memandangkan harga sebenar buah harumanis bagi gred premium, satu dan dua adalah bermula antara RM27 hingga RM37 sekilogram,” katanya ketika ditemui selepas taklimat pengenalan dan pemasaran mangga harumanis Perlis di Dewan Melati, pejabat FAMA negeri, semalam.
Anzara berkata, selain itu, terdapat juga taktik penipuan dalam talian dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan menawarkan harga murah bagi pembelian harumanis pada kadar RM50 untuk tiga kilogram.
Katanya, bagaimanapun, pengguna yang tertarik dengan iklan dalam talian itu akhirnya tidak mendapat buah berkenaan selepas membuat pembayaran kepada pihak terlibat.
“Berikutan itu, kita mengharapkan agar pengguna lebih bijak dalam membuat pilihan dan mengenalpasti buah yang dibeli itu supaya ia adalah benar-benar harumanis.
“Isu ini sememangnya dalam perhatian FAMA dan kerajaan negeri bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas buah ikonik ini,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, bagi tempoh Januari hingga 15 April lalu, pihaknya telah melaksanakan 14 operasi dan advokasi di mana sebanyak 61 kenyataan pemeriksaan premis turut dikeluarkan.
“Buat masa ini, kita masih di peringkat advokasi namun pada awal Mei nanti, FAMA akan bersama agensi-agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan lain-lain bagi melakukan penguatkuasaan,” katanya. – UTUSAN










