IKT nombor satu lagi di Terengganu

IKT nombor satu lagi di Terengganu

SERAMAI 95 penghafaz al-Quran di Imtiaz Kuala Terengganu mendapat keputusan cemerlang SPM 2024 dengan GPS 1.32 mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kejayaan cemerlang Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu (IKT) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 membuktikan bahawa usaha luar biasa guru, ibu bapa dan pelajar adalah kunci kepada pencapaian luar biasa ini.

Sekolah yang lebih dikenali dengan nama IKT ini muncul sebagai sekolah terbaik di Terengganu dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.32, menjadikannya yang paling cemerlang untuk keseluruhan SPM 2024.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) IKT, Datuk Ariffin Deraman, berkata, sejarah baharu tercipta apabila 75 daripada 95 pelajar IKT berjaya memperoleh 9A ke atas dalam peperiksaan tersebut.

Keputusan cemerlang juga diraih oleh tiga pelajar yang mendapat 12A+, diikuti dengan 20 pelajar memperoleh 12A, 22 pelajar mendapat 11A, 17 pelajar memperoleh 10A, dan 13 pelajar meraih 9A.

“Kesemua 95 calon SPM 2024 IKT juga menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran, memenuhi matlamat Yayasan Terengganu untuk melahirkan generasi ulul albab dan huffaz profesional,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sekolah Impian

IKT yang terletak di Kampung Banggol Karah dekat Serada, telah ditubuhkan pada 2005 dengan penjenamaan semula Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT).

Setelah 20 tahun beroperasi, IKT kini mengukir nama sebagai sekolah impian yang menawarkan pendidikan seimbang duniawi dan ukhrawi yang memberi penekanan terhadap kecemerlangan akademik, kokurikulum, sahsiah serta pembangunan jati diri.

Ariffin berkata setiap tahun, permintaan untuk menyambung persekolahan di IKT semakin meningkat, namun hanya pelajar terbaik diterima selepas melalui beberapa ujian.

Komitmen Ibu Bapa

Sebagai sekolah yang menekankan disiplin tinggi, pelajar IKT memulakan hari mereka dengan solat fardu berjemaah dan hafazan al-Quran.

Pada sebelah petang, mereka beriadah untuk menjaga kesihatan tubuh dan minda sebelum kembali ke pembelajaran akademik pada waktu malam.

“Pelajar juga aktif dalam sukan dan turut menyertai pertandingan inovasi reka cipta di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kehebatan IKT juga terletak pada kerjasama erat antara guru dan ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dalam apa juga program dianjurkan.

Pengetua IKT, Md. Imran Md. Nor, berkata jalinan erat ini sa­ngat penting dalam melancarkan semua program yang berkaitan dengan akademik dan kebajikan pelajar.

“Ibu bapa turut memulakan bacaan Yasin setiap hari setahun sebelum SPM 2024, memberi kekuatan spiritual kepada pelajar,” katanya.

Pengorbanan Guru

Di IKT, guru-guru memainkan peranan penting sebagai ibu bapa kedua kepada pelajar yang tinggal di asrama sepenuh masa. Md. Imran berkata, guru-guru di IKT sentiasa memberi komitmen tinggi, mengadakan kelas bimbingan pada waktu malam dan ketika cuti untuk memastikan pelajar mencapai kecemerlangan.

“Kami juga memberi penekanan kepada adab dan akhlak mulia, kerana ini adalah syarat utama untuk berjaya,” katanya.

Dengan kejayaan cemerlang ini, IKT terus menjadi inspirasi dalam dunia pendidikan, membuktikan bahawa kerjasama antara semua pihak adalah kunci utama kepada kecemerlangan pelajar.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN