GRS perlu konsensus jalin kerjasama termasuk UMNO

GRS perlu konsensus jalin kerjasama termasuk UMNO

JONISTON BANGKUAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang keputusan bagi menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 perlu mendapat konsensus an­tara parti dalam Gabungan Rak­yat Sabah (GRS).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, kerjasama dengan mana-mana parti hanya akan diputuskan pada satu tempoh yang akan diumumkan nanti.

“Soal kerjasama dengan mana-mana parti harus dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) GRS,” katanya semalam.

GRS disertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Cinta Sabah (PCM), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

Sebelum ini, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu laporan portal berkata, Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding solo dan akan mengumumkan kerjasama dengan gabungan politik lain pada PRN Sabah nanti.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan politik semasa.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Jayum Jewan berkata, sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah perlu dipertandingkan secara solo tanpa kerjasama mana-mana parti politik.

Menurutnya, ia bagi membuktikan kemampuan dan pe­­ngaruh setiap parti yang ber­tanding selain demi memasti­kan kestabilan politik di negeri ber­kenaan.

“Bagi saya pilihan yang lebih baik ialah lawan dulu kemudian baru cari kawan (membentuk gabungan dan kerjasama) sebagaimana tahun 2020.

“Tidak perlu gabungan atau kerjasama sebelum PRN. Biar rakyat tentukan (parti). Kemudian yang menang akan berun­ding untuk membentuk keraja­an nanti,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN