SEOUL: Sekurang-kurangnya dua terperangkap apabila tapak pembinaan untuk laluan metro baharu runtuh berhampiran ibu negara Korea Selatan, semalam.
Tapak itu adalah sebahagian daripada projek transit bawah tanah yang menghubungkan daerah Yeouido, Seoul, ke Ansan dan Siheung di wilayah Gyeonggi, kawasan paling padat penduduk di negara itu.
Agensi Bomba Kebangsaan berkata, runtuhan berlaku semasa kerja pengukuhan terowong sedang dijalankan.
Dua individu disahkan terperangkap, dengan salah seorang berjaya dikesan dan diselamatkan, manakala seorang lagi masih belum ditemui.
Agensi itu memaklumkan, seramai 55 anggota bomba dikerahkan untuk operasi menyelamat.
Tapak pembinaan tersebut sudah pun dikosongkan lebih awal pada pagi Jumaat, berikutan kebimbangan terhadap keselamatan sebelum runtuhan berlaku, dan polis menutup sepanjang satu kilometer jalan di sekitar kawasan pembinaan.
Seorang pegawai polis memberitahu media tempatan, penyelia tapak melaporkan terdapat rekahan pada tiang sokongan bawah tanah, yang membawa kepada tindakan bersama dengan pihak berkuasa bandar.
“Ada kebimbangan mengenai kemungkinan tanah mendap, jadi kami menutup jalan sebagai langkah berjaga-jaga,” kata pegawai itu.
Polis memaklumkan, jalan tersebut akan kekal ditutup sehingga kerja pengukuhan selesai dan tapak pembinaan disahkan selamat.
Insiden berlaku hanya beberapa minggu selepas seorang maut apabila lubang benam besar terbentuk di Seoul.
Kemalangan lubang benam berlaku di sebuah tapak di mana kerja sambungan bagi laluan metro lain sedang dijalankan.– AFP










