JOHOR BAHRU: Dua beradik maut apabila motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di simpang tiga lampu isyarat di Jalan Bukit Tiram, di sini malam tadi.
Ketua Kampung Felda Ulu Tebrau, Ab Jalil Sahlan berkata, kemalangan kira-kira pukul 8 malam itu mengorbankan Nuraisyah Amalin Zaibur, 20, dan dan adiknya, Ammar Saifullah, 15.
“Saya dimaklumkan kejadian dua beradik tersebut yang tinggal di Jalan Anggerik, Felda Ulu Tebrau dilanggar sebuah kenderaan dipandu juga penduduk felda tersebut yang dalam perjalanan dari Felda Ulu Tebrau ke Ulu Tiram.
“Difahamkan dua beradik tersebut meninggal dunia di lokasi kejadian dan jenazah mereka dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Menurutnya, jenazah dua beradik itu akan dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Felda Ulu Tebrau. – UTUSAN