KANGAR: Biarpun hidup dalam keadaan serba kekurangan dan diuji dengan pelbagai dugaan, namun tidak menghalang Adib Azrif Norazamze,18,anak seorang penjaga setor baja memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan semalam.
Kejayaan membanggakan itu menyaksikan dia menjadi antara pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, di sini.
Adib Azrif berkata, dia sememangnya tidak menyangka meraih keputusan cemerlang itu memandangkan sewaktu peperiksaan berkenaan, mereka sekeluarga berdepan pelbagai dugaan khususnya apabila ayahnya, Noramzamze Teh, 47, terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Ogos tahun lalu.
“Seminggu sebelum saya menduduki peperiksaan percubaan SPM, ayah berdepan kemalangan jalan raya sewaktu menunggang motosikal sehingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat patah tangan, kaki dan berdarah pada bahagian otak.
“Malah semasa saya menduduki peperiksaan SPM 2024 juga, ayah masih lagi belum pulih ketika itu dan kami sekeluarga perlu bergilir-gilir menjaga ayah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Adib Azrif berkata, dia sebelum ini perlu membahagikan masa dengan sebaiknya bagi mengulang kaji pelajaran dan menjaga ayahnya yang tidak dapat bergerak sepenuhnya akibat kemalangan berkenaan.
“Alhamdulillah, biarpun diuji dengan dugaan ini, saya masih dapat meraih keputusan lebih baik berbanding semasa peperiksaan percubaan sebelum ini,” katanya.
Tambah Adib Azrif, dia juga merancang untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang kejuruteraan selepas ini bagi mencapai cita-citanya sebagai jurutera.
Sementara itu, ayah kepada Adib, Noramzamze berkata, dia sememangnya bersyukur apabila anaknya itu dapat meraih keputusan cemerlang biarpun tidak dapat bekerja selepas kemalangan tersebut.
Katanya, biarpun tidak dapat mencari nafkah dalam tempoh tersebut, beberapa pihak khususnya ahli keluarga terdekat telah tampil bagi membantu terutamanya melibatkan aspek kewangan.
“Abang kepada Adib yang sedang melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Perlis juga turut membantu dengan melakukan kerja sampingan memandangkan saya tidak dapat bekerja selepas kemalangan malah isteri juga adalah suri rumah.
“Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan semua urusan kami malah Adib juga berjaya meraih keputusan cemerlang biarpun diuji dengan dugaan dan hidup serba kekurangan,” katanya.-UTUSAN