Artifak, sejarah Gaza dipamerkan di Paris

Artifak, sejarah Gaza dipamerkan di Paris

POSTER pameran warisan arkeologi ‘Khazanah yang Diselamatkan Dari Gaza: 5,000 Tahun Sejarah’ digantung di Institut du Monde Arabe di Paris.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Sebuah pameran khas yang memaparkan artifak arkeologi dari Gaza dibuka di Institut du Monde Arabe di Paris, menampilkan pelbagai peninggalan bersejarah dari wilayah yang pernah menjadi pusat perdagangan utama antara Asia dan Afrika.

Pameran ‘Khazanah Gaza yang Diselamatkan: 5,000 Tahun Sejarah’, mempamerkan kira-kira 100 artifak berharga, termasuk mangkuk berusia 4,000 tahun, mozek dari gereja Byzantine abad keenam serta patung Aphrodite inspirasi daripada seni Yunani.

Menurut penganjur pameran, Elodie Bouffard, selain menonjolkan kepentingan sejarah Gaza sebagai pusat pertembungan budaya dan perdagangan, ia juga bertujuan memberi kesedaran mengenai kemusnahan besar yang sedang berlaku akibat konflik berterusan di wilayah tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keutamaan utama adalah nyawa manusia, tetapi kita juga ingin menunjukkan bahawa selama ribuan tahun, Gaza merupakan titik akhir laluan kafilah perdagangan, sebuah pelabuhan yang mencetak mata wang sendiri serta bandar yang berkembang di pertemuan antara air dan pasir,” katanya.

Salah satu bahagian dalam pameran itu memberi tumpuan kepada tahap kemusnahan warisan Gaza sejak perang tercetus pada Oktober 2023.

Menggunakan imej satelit, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengenal pasti sekurang-kurangnya 94 tapak warisan yang rosak, termasuk Istana Pasha yang dibina pada abad ke-13.

Bouffard menjelaskan, tahap kerosakan terhadap tapak yang diketahui serta artifak tersembunyi di bawah tanah bergantung kepada jumlah bom yang digugurkan dan kesannya terhadap struktur permukaan serta bawah tanah.

Pameran itu juga mengimbau sejarah Gaza yang sering menjadi sasaran penaklukan sejak zaman purba.

Menurut Bouffard, Gaza mengalami banyak siri penjajahan dan pemusnahan sepanjang sejarah, termasuk oleh Alexander the Great pada abad ke-4 Sebelum Masihi (SM) yang mengepung bandar itu selama dua bulan sebelum menghancurkannya.

Antara tapak bersejarah utama Gaza yang pernah diteroka, termasuk Biara Saint Hilarion, pelabuhan purba Anthedon dari zaman Yunani, serta sebuah nekropolis Rom yang membuktikan kehadiran tamadun sejak Zaman Gangsa sehingga pengaruh Uthmaniyah pada abad ke-19.

Pameran ini dijangka berlangsung sehingga 2 November 2025.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN