NAYPYIDAW: Pihak berkuasa Myanmar menahan seorang ‘ahli nujum’ TikTok kerana membuat ramalan yang mencetuskan panik berkaitan gempa bumi.
John Moe The, yang mempunyai lebih 300,000 pengikut di TikTok, pada 9 April lalu meramalkan satu gempa bumi kuat akan melanda setiap bandar di Myanmar dalam tempoh 12 hari.
“Orang ramai tidak sepatutnya berada dalam bangunan pada waktu siang.
“Bawa barang penting bersama anda dan lari jauh dari bangunan semasa gegaran berlaku,” tulisnya pada video yang ditonton 3.3 juta kali.
Gempa bumi pada Mac di kawasan tengah Myanmar meragut lebih 3,700 nyawa dan menyebabkan 60,000 orang tinggal di khemah sementara, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kejadian itu menyebabkan orang ramai masih takut untuk pulang ke rumah kerana gempa susulan yang berterusan.
Kerajaan junta Myanmar dalam kenyataan semalam memaklumkan, suspek berusia 21 tahun itu ditahan dalam serbuan di rumahnya di bandar Monywa, tengah Myanmar, pada 22 April lalu.
“Kami mendapat maklumat tentang berita palsu yang disebarkan melalui akaun TikTok bahawa gempa bumi kuat akan melanda.
“Tindakan akan diambil terhadapnya mengikut undang-undang. Begitu juga kepada sesiapa sahaja yang menulis, menyebar atau berkongsi berita palsu,” menurut kenyataan kerajaan.
Menerusi akaun TikTok ‘John (Palmistry)’, suspek dikatakan kerap memuat naik ramalan berbentuk teks dengan latar belakang kosmos berputar.
Ramalannya turut merangkumi bencana cuaca lain, pembebasan pemimpin de facto Aung San Suu Kyi dan serangan udara Amerika Syarikat (AS) di Myanmar.
Sistem amaran awal gempa bumi memang wujud, dengan mengesan gegaran awal dan menghantar isyarat lebih pantas daripada gelombang kejutan.
Namun, menurut Kajian Geologi AS (USGS), meramalkan gempa bumi sebelum ia berlaku adalah sesuatu yang mustahil secara saintifik.– AFP










