WASHINGTON: Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat (NIH) mengumumkan dasar baharu untuk menyekat pembiayaan penyelidikan perubatan daripada universiti yang menjalankan program Kepelbagaian, Kesaksamaan dan Inklusi (DEI) atau menyertai boikot terhadap syarikat Israel, menurut notis dasar yang dikeluarkan pada Isnin.
Dalam notis tersebut, NIH menyatakan bahawa ia berhak menghentikan bantuan kewangan dan menarik balik semua dana jika penerima geran tidak mematuhi garis panduan persekutuan yang melarang penyelidikan berkaitan DEI dan ‘boikot terlarang’.
Dasar itu terpakai kepada penerima geran baharu, pembaharuan, tambahan, atau sambungan di dalam negara yang dikeluarkan mulai 21 April 2024.
Langkah itu mencerminkan tindakan pentadbiran Trump sebelum ini yang membekukan dana kepada Universiti Harvard dan Columbia berikutan program DEI serta tindak balas universiti terhadap isu antisemitisme di kampus.
Perubahan dasar terbaharu NIH ini boleh memberi impak besar kepada universiti penyelidikan di seluruh AS.
Sebagai tindak balas, Universiti Harvard memfailkan saman terhadap pentadbiran pada Isnin. Dalam surat kepada komuniti Harvard, Presiden Universiti Alan M. Garber menegaskan bahawa tindakan terkini kerajaan memberi impak besar terhadap pesakit, pelajar, fakulti, kakitangan, penyelidik, dan reputasi pendidikan tinggi AS di peringkat global.
NIH merupakan pembiaya awam terbesar penyelidikan biomedik di dunia, mengeluarkan kira-kira 60,000 geran setahun kepada hampir 3,000 universiti dan hospital. Lebih 80 peratus daripada bajet tahunan NIH bernilai AS$48 bilion (RM228 bilion) diperuntukkan untuk geran penyelidikan.
Menurut laporan The Harvard Crimson, Harvard menerima AS$488juta (RM2.3bilion) dalam pembiayaan NIH pada tahun fiskal 2024, merangkumi sebahagian besar daripada AS$686 juta (RM3.3 bilion) dana penyelidikan persekutuan yang diterimanya.
Sekolah Perubatan Harvard, yang menerima AS$171 juta (RM814 juta) daripada NIH, berkemungkinan terjejas teruk akibat dasar baharu ini.
Perubahan syarat geran NIH memberi kuasa baru kepada pentadbiran Trump untuk mengekang inisiatif DEI. Bulan lalu, pihak berkuasa membatalkan pelbagai geran yang memberi tumpuan kepada kepelbagaian, kesihatan komuniti terpinggir, dan kajian ketidaksamarataan.
Namun, pembatalan itu turut mencetuskan bantahan undang-undang. Sebuah persatuan kesihatan awam dan kesatuan pekerja bulan ini menyaman pentadbiran mendakwa bahawa ratusan projek penyelidikan bernilai jutaan dolar dibatalkan tanpa justifikasi saintifik.
Seorang pegawai Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) berkata NIH akan menghentikan pembiayaan penyelidikan yang ‘tidak selari dengan keutamaan NIH/HHS atau melanggar undang-undang anti-diskriminasi persekutuan’.– CNN










