FLORIDA: Seorang wanita didakwa atas tuduhan penderaan haiwan selepas sengaja melemaskan anjing peliharaannya di tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando sebelum menaiki penerbangan.
Tertuduh didakwa bertindak demikian selepas tidak dibenarkan membawa haiwan itu menaiki pesawat kerana masalah dokumentasi.
Beliau yang berasal dari Kenner, Louisiana, ditahan di Lake County pada Rabu sebelum kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak AS$5,000 (RM22,111).
“Tindakan ini dilakukan dengan sengaja dan menyebabkan kematian kejam serta tidak wajar terhadap haiwan tersebut,” menurut afidavit tangkapan yang dikeluarkan oleh Jabatan Polis Orlando.
Insiden itu terbongkar pada Disember lalu apabila seorang pekerja pembersihan menemukan bangkai anjing berkenaan dalam beg plastik di sebuah tandas lapangan terbang.
Menurut siasatan, pekerja sebelum ini melihat wanita terbabit berada dalam tandas membersihkan air dan makanan anjing di lantai, namun terpaksa meninggalkan kawasan tersebut untuk menangani kecemasan lain, sebelum menemukan bangkai haiwan itu dalam tong sampah bersama jaket khas, tag rabies, beg perjalanan dan tanda pengenalan berbentuk tulang tertera nama serta nombor telefon pemiliknya kira-kira 20 minit kemudian.
Rakaman kamera keselamatan menunjukkan wanita itu berbincang selama 15 minit dengan ejen syarikat penerbangan Latam Airlines sambil membawa anjing tersebut, sebelum masuk ke tandas berdekatan kaunter tiket bersama haiwan peliharaannya.
Beliau keluar dari tandas kurang 20 minit kemudian tanpa anjingnya, kemudian beredar dari terminal sebelum masuk semula, melepasi kawalan keselamatan dan menaiki penerbangan ke Colombia.
Menurut pihak berkuasa, wanita itu dilarang membawa anjingnya menaiki pesawat kerana tidak mempunyai dokumen yang diperlukan.
Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (AS) menetapkan mana-mana anjing yang dibawa ke Colombia perlu disertakan sijil kesihatan daripada doktor haiwan serta sijil vaksinasi rabies.
Hasil bedah siasat mengesahkan anjing berusia sembilan tahun yang dikenali sebagai Tywinn itu mati akibat lemas serta pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan AS turut mengesahkan wanita terbabit menaiki penerbangan ke Bogota, Colombia, sebelum meneruskan perjalanan ke Ecuador.– AGENSI










