BRATISLAVA: Slovakia mengumumkan keputusan untuk menghentikan bantuan ketenteraan dan kewangan kepada Ukraine.
Perdana Menterinya, Robert Fico berkata, Slovakia tidak akan menyokong Ukraine sama ada dari segi kewangan atau ketenteraan untuk membolehkannya meneruskan perang.
“Jika negara lain memilih untuk berbuat demikian, kami akan menghormati,” katanya dalam surat terbuka di X, kelmarin.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan pendekatan ‘keamanan melalui kekuatan’ dan menegaskan Ukraine tidak akan mencapai kekuatan mencukupi untuk berunding daripada kedudukan kuasa tentera.
“Untuk rumusan sidang kemuncak Kesatuan Eropah (Khamis, 6 Mac 2025), Slovakia mencadangkan keperluan gencatan senjata segera (tanpa mengambil kira bila perjanjian damai muktamad dicapai),” katanya.
Fico menuntut semua rumusan sidang kemuncak itu secara jelas memasukkan syarat untuk membuka semula transit gas melalui Ukraine ke Slovakia dan Eropah Barat.
“Mustahil untuk memastikan daya saing Eropah jika bekalan gas Russia melalui Ukraine tidak dipulihkan.
“Jika sidang kemuncak itu tidak menghormati pendapat lain selain meneruskan perang, Majlis Eropah mungkin tidak dapat mencapai kesimpulan mengenai Ukraine pada Khamis ini,” katanya.
Kenyataan Fico dibuat sehari selepas pertelagahan berlaku antara Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Naib Presiden, JD Vance di Pejabat Oval, Washington.
Dalam perbincangan tersebut, Trump mengkritik sikap Zelensky, manakala pemimpin Ukraine itu menyuarakan harapan untuk AS terus menyokong negaranya.
Presiden AS kemudian menulis di akaun Truth Social miliknya, mendakwa Zelensky masih belum bersedia mencapai keamanan.
Menerusi temu bual dengan Fox News, Zelensky menegaskan dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan yang menuntut dirinya membuat permohonan maaf kepada Trump.- ANADOLU











