Sidang Parlimen Serbia kecoh, pembangkang lempar bom asap

Sidang Parlimen Serbia kecoh, pembangkang lempar bom asap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELGRADE: Sidang Parlimen Serbia bertukar kecoh apabila ahli parlimen pembangkang melempar bom asap dan gas pemedih mata sebagai protes terhadap kerajaan, sekali gus mencetuskan huru-hara hingga menyebabkan seorang wakil rakyat diserang strok.

Kekecohan itu berlaku di tengah gelombang demonstrasi yang berlarutan selama empat bulan, diketuai oleh pelajar susulan tragedi runtuhan bumbung stesen kereta api di Novi Sad, November lalu yang meragut 15 nyawa.

Mereka menuduh kerajaan mengamalkan rasuah dan tidak cekap dalam menguruskan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kekacauan di Parlimen bermula selepas gabungan pemerintah yang diketuai Parti Progresif Serbia (SNS) meluluskan agenda persidangan, menyebabkan sebahagian anggota pembangkang bertindak meluru ke arah Speaker Parlimen dan bergelut dengan pengawal keselamatan.

Dalam kejadian tersebut, beberapa wakil pembangkang melepaskan bom asap berwarna hitam dan merah jambu serta menggunakan semburan lada, menyebabkan suasana dalam dewan persidangan menjadi kelam-kabut.

Rakaman siaran langsung televisyen menunjukkan asap tebal memenuhi ruang Parlimen yang sebelum ini pernah menyaksikan insiden pergaduhan sejak Serbia memperkenalkan sistem demokrasi pelbagai parti pada 1990.

Walaupun kekecohan berlaku, sesi perbahasan diteruskan dengan ahli parlimen kerajaan membincangkan usul, sementara wakil pembangkang membantah dengan meniup wisel dan hon.

Mereka turut memegang plakad bertulis ‘mogok umum’ dan ‘keadilan untuk mangsa’, sebagai memperingati 15 individu yang terkorban dalam tragedi runtuhan tersebut.

Dalam sidang itu, Parlimen sepatutnya meluluskan undang-undang bagi meningkatkan peruntukan kepada universiti – salah satu tuntutan utama pelajar yang berdemonstrasi.

Namun, keputusan gabungan pemerintah memasukkan agenda lain termasuk memaklumkan peletakan jawatan Perdana Menteri, Milos Vucevic membangkitkan kemarahan pembangkang.

Sidang Parlimen akhirnya ditangguhkan dan dijadualkan bersambung semula hari ini.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN