Sembilan terbunuh serangan udara AS-UK di Yemen

Sembilan terbunuh serangan udara AS-UK di Yemen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan sembilan yang lain cedera dalam serangan udara dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) ke atas Sanaa, menurut kumpulan Houthis semalam.

Serangan berlaku selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan operasi udara besar-besaran terhadap kumpulan tersebut.

Kementerian Kesihatan menerusi agensi berita dikaitkan dengan Houthi, SABA dilaporkan berkata, orang awam tercedera kebanyakannya kritikal, manakala sembilan yang terbunuh adalah angka awal korban serangan udara AS-UK ke atas lokasi awam di ibu negara.

Sebelum ini, saluran televisyen Al-Masirah yang dikaitkan dengan Houthi turut melaporkan kawasan kejiranan kediaman di daerah Shu’aub, utara ibu negara menjadi sasaran serangan.

Dalam satu kenyataan di platform Truth Social, Trump berkata, beliau mengarahkan tentera untuk melancarkan tindakan ekstrem terhadap kumpulan Houthi.

“Masa anda sudah tamat dan serangan mesti dihentikan mulai hari ini. Jika tidak, ‘neraka akan datang kepada anda’ seperti yang belum pernah dilihat sebelum ini,” kata Trump.

Saksi yang ditemui Anadolu melaporkan, serangan udara juga membedil kawasan Geraf di utara Sanaa, mengakibatkan letupan yang kuat.

Sebagai tanda solidariti kepada Gaza, Houthi menyerang kapal-kapal yang dikaitkan dengan Israel di Laut Merah menggunakan peluru berpandu dan dron sejak akhir 2023, sekali gus mengganggu perdagangan global.

Kumpulan tersebut menghentikan serangan mereka apabila gencatan senjata di Gaza diisytiharkan pada Januari.

Namun, mereka mengancam untuk menyambung semula serangan apabila Israel menyekat semua bantuan ke Gaza selepas tamatnya fasa pertama gencatan senjata pada 2 Mac.

Serangan terbaharu menimbulkan kebimbangan antarabangsa mengenai peningkatan konflik di rantau tersebut, sementara dunia terus memantau perkembangan situasi yang semakin tegang. – ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN