LONDON: Lingkaran misteri berwarna putih kebiruan yang muncul di langit Britain pada malam Isnin lalu, menggemparkan penduduk sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.
Sebahagian penduduk memuat naik fenomena aneh itu di media sosial dan mengaitkan mengenai kemungkinan kehadiran makhluk asing.
Bagaimanapun, pakar menjelaskan lingkaran pelik dan kelihatan selama beberapa minit di seluruh langit Britain itu sebenarnya disebabkan oleh bahan api beku yang diterangi cahaya selepas dilepaskan daripada roket SpaceX.
Pada awalnya, lingkaran tersebut disangka sebagai pesawat atau aktiviti luar angkasa, tetapi kini dikaitkan dengan pelancaran di Stesen Angkatan Angkasa Cape Canaveral di Florida.
Syarikat milik Elon Musk itu mengadakan pelancaran untuk kerajaan Amerika Syarikat (AS) sejurus sebelum 1.50 petang waktu tempatan dan kesan ekzos beku roket Falcon 9 dipercayai menjadi punca fenomena tersebut.
SpaceX sering melancarkan roket yang boleh menghasilkan kesan visual apabila bahan api beku dilepaskan ke atmosfera.
Lingkaran cahaya menakjubkan itu dilaporkan dilihat dari Yorkshire, Hertfordshire, Bristol, Milton Keynes, Stoke-on-Trent, Hampshire dan Kent.
Jabatan Meteorologi United Kingdom (UK) turut mengesahkan menerima banyak laporan mengenai lingkaran cahaya di langit sejurus fenomena tersebut.– AGENSI










