PUTRAJAYA: Nasib Barisan Nasional (BN) untuk terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak bakal ditentukan sejumlah 31,897 pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan 26 April ini.
Bagi tujuan PRK itu, SPR memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta melibatkan kekuatan 601 orang petugas dengan keseluruhan 21 pusat mengundi dan 66 saluran mengundi.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan, tarikh penamaan calon pada 12 April, manakala hari pengundian awal ditetapkan 22 April, melibatkan proses pengundian bagi 582 anggota polis dan pasangan mereka.
“SPR melantik seorang pegawai pengurus dibantu oleh tiga orang penolong pegawai pengurus, manakala satu Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.
“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 12 April (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 25 April (Jumaat),” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Jumlah pemilih antara lelaki dan perempuan di DUN ini hampir seimbang iaitu seramai 15,917 pengundi lelaki dan 15,980 pengundi perempuan. – UTUSAN











