PKK isytihar gencatan senjata dengan Turkiye

PKK isytihar gencatan senjata dengan Turkiye

PUAK Kurdish berhimpun untuk mendengar mesej daripada Abdullah Ocalan di bandar Qamishli di timur laut Syria.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Parti Pekerja Kurdistan (PKK) mengumumkan akan melaksana gencatan senjata dengan Turkiye berikutan seruan daripada pemimpinnya yang dipenjarakan, Abdullah Ocalan untuk meletakkan senjata.

Kenyataan oleh kumpulan yang diharamkan itu diterbitkan oleh agensi berita pro-PKK, ANF semalam dan dilihat sebagai langkah besar ke arah menamatkan konflik selama lebih 40 tahun dengan kerajaan Turkiye.

“Bagi membuka jalan pelaksanaan seruan Ocalan terhadap keamanan dan masyarakat demokratik, kami mengisytiharkan gencatan senjata berkuat kuasa mulai hari ini.

“Kami bersetuju sepenuhnya dengan kandungan seruan itu dan kami akan mengikutinya serta melaksanakannya. Tiada mana-mana pasukan kami akan mengambil tindakan bersenjata kecuali jika diserang,” kata jawatankuasa eksekutif PKK dalam satu kenyataan dipetik ANF.

Khamis lalu, Ocalan membuat seruan bersejarah dari dalam penjara, menggesa kumpulan itu dibubarkan dan meminta ahlinya meletakkan senjata, sekai gus menamatkan konflik selama beberapa dekad dengan kerajaan Turkiye.

PKK kemudian menyatakan harapannya agar Ankara membebaskan Ocalan yang ditahan sejak 1999, supaya beliau boleh memimpin proses perlucutan senjata.

Kumpulan itu juga menekankan bahawa keadaan politik dan demokrasi perlu diwujudkan bagi memastikan kejayaan proses gencatan senjata itu.

PKK yang berpusat di utara Iraq disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) selepas melancarkan pemberontakan pada 1984.

Matlamat asalnya adalah untuk mendapatkan tanah air bagi puak Kurdish yang membentuk kira-kira 20 peratus daripada 85 juta penduduk Turkiye, namun baru-baru ini, kumpulan itu beralih meminta lebih banyak autonomi, hak budaya serta linguistik, bukannya kemerdekaan.

Sejak Ocalan dipenjarakan, terdapat pelbagai percubaan untuk menamatkan pertumpahan darah, yang telah mengorbankan lebih 40,000 nyawa.

Pada Jumaat, Erdogan mengalu-alukan rayuan Ocalan, menyifatkan ia sebagai peluang bersejarah untuk keamanan Turkiye dan berjanji akan memastikan rundingan untuk menamatkan konflik dapat dimuktamadkan.

“Apabila tekanan keganasan dan senjata dihapuskan, ruang untuk politik dalam demokrasi secara semula jadi akan berkembang,” katanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×