WASHINGTON: Hakim Amerika Syarikat (AS) menetapkan 23 Jun bagi perbicaraan kes penipuan jenayah melibatkan syarikat pembuat pesawat, Boeing, berhubung dakwaan menyembunyikan maklumat mengenai sistem utama pada 737 Max.
Keputusan itu disambut baik oleh keluarga mangsa dua nahas pesawat Max, yang meragut 346 nyawa, dengan menyifatkannya sebagai peluang untuk mendapatkan keadilan.
Sementara itu, Boeing pula memaklumkan ia masih dalam perbincangan berterusan dengan Jabatan Kehakiman AS bagi menyelesaikan kes tersebut.
Tahun lalu, kerajaan persekutuan AS dituduh merangka perjanjian yang menguntungkan Boeing, selepas syarikat itu ditawarkan peluang untuk mengaku bersalah dan membayar denda, sebagai sebahagian hukuman sekali gus mengelak perbicaraan berprofil tinggi.
Walaupun Boeing pada awalnya bersetuju untuk mengaku bersalah pada Isnin, Wall Street Journal melaporkan, syarikat itu sedang berusaha untuk menarik balik perjanjian pengakuan bersalah sedia ada, di mana ia berjanji membayar sehingga AS$487.2 juta (RM2.1 bilion).
Hakim Daerah AS, Reed O’Connor pada mulanya menolak perjanjian itu dan memberikan Boeing serta Jabatan Kehakiman sehingga bulan depan untuk mencapai perjanjian baharu mengenai pengakuan bersalah tersebut.
Kelmarin, O’Connor tidak menyatakan sebab penetapan tarikh perbicaraan atau menarik balik tarikh akhir 11 April yang diberikan sebelum untuk kedua-dua pihak mencapai perjanjian baharu.
Peguam kepada 16 keluarga mangsa nahas, Sanjiv Singh, menyambut baik keputusan hakim itu sambil menegaskan ia memberi mesej jelas kepada Boeing.
“Akauntabiliti atas kehilangan ratusan nyawa, perlindungan jutaan penumpang dan jaminan keselamatan penerbangan harus menjadi keutamaan mana-mana pentadbiran kerajaan, tanpa mengira agenda politik yang lebih besar,” katanya.
Perjanjian yang dibuat dengan pentadbiran Presiden Joe Biden tahun lalu, menyaksikan Boeing perlu membelanjakan AS$455 juta (RM2 bilion) untuk memperbaiki aspek keselamatan dan pematuhan dalam tempoh tiga tahun, selain dipantau bebas sepanjang tempoh tersebut.– THE GUARDIAN











