TAIPEI: Penyelidikan baharu di Taiwan mendedahkan pencemaran udara berisiko menjejaskan kesihatan otak golongan warga emas.
Kajian terbaharu dikeluarkan Universiti Kebangsaan Yang Ming Chiao Tung mendapati pencemaran udara boleh merangsang sistem imun melalui deria bau, seterusnya mencetuskan keradangan, lapor Agensi Berita Pusat (CNA) Taipei.
Keradangan tersebut boleh merosakkan penghalang darah otak menyebabkan kecederaan pada saluran itu dan akhirnya menjejaskan kesihatan neurologi.
Penyelidik menggunakan model untuk menganggarkan tahap pencemaran udara dalam tempoh 10 tahun dengan mengkaji 412 warga emas berusia 60 tahun ke atas yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar.
Mereka juga menjalankan ujian kognitif dan imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) untuk menganalisis perubahan struktur otak mereka.
Imbasan MRI menunjukkan perubahan struktur di bahagian otak yang bertanggungjawab terhadap tumpuan dan ingatan apabila kepekatan pencemaran udara berkurangan.
Menurut pakar di Institut Kesihatan Awam Universiti Nasional Yang Ming Chiao Tung, Prof Madya Yi-Fang Chuang, pencemaran udara merupakan faktor risiko bagi kemerosotan fungsi kognitif.
Beliau berkata, kajian ini membantu menjelaskan hubungan antara pencemaran udara dan kesihatan otak warga emas.
“Memperbaiki kualiti udara boleh meningkatkan kesihatan otak dan fungsi kognitif warga emas, sekaligus melambatkan risiko demensia,” tambahnya.– ANADOLU










