ISTANBUL: Seorang pencipta kandungan TikTok terkenal dalam komuniti ‘mukbang’ dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas dan berdiri.
Efecan Kultur, 24, memiliki lebih 155,000 pengikut di TikTok, dikenali kerana kandungan videonya makan dalam jumlah besar, trend popular dalam kalangan pencipta kandungan mukbang.
Beliau yang berasal dari Turkiye, pertama kali dimasukkan ke hospital pada Disember 2024 akibat masalah kesihatan berkaitan berat badan, lapor The Sun.
Menurut portal itu, beliau mengalami lebam berterusan yang menyebabkan masalah pergerakan.
Pempengaruh tersebut tidak dapat hadir ke pengebumian ibunya setahun lalu kerana tidak mampu bernafas tanpa bantuan mesin.
Kultur dibenarkan keluar dari hospital untuk meneruskan rawatan di rumah, sebelum akhirnya menghembuskan nafas terakhir.
Jenazahnya dikebumikan di Masjid Celaliya di wilayah Istanbul.
Tahun lalu, kejadian mengejutkan turut berlaku apabila seorang lagi pencipta kandungan mukbang ekstrem meninggal dunia ketika melakukan siaran langsung.
Pan Xiaoting, 24, meninggal dunia pada 14 Julai dengan hasil bedah siasat mendapati perutnya dipenuhi dengan makanan yang tidak dicerna, lapor TimesNow.
Walaupun menerima amaran daripada ibu bapa dan penyokongnya, Xiaoting tetap meneruskan sesi siaran langsung sehingga selama 10 jam, di mana dia makan kira-kira 10 kilogram hidangan.- AGENSI









