PETALING JAYA: Pejabat Perdana Menteri mengadakan taklimat harian secara langsung bermula semalam, untuk memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan sahih secara terus daripada sumber rasmi.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, keperluan untuk mendapatkan fakta yang tepat dan sahih amat penting khususnya dalam era pasca normal yang menyaksikan maklumat tersebar luas dengan pantas.
Katanya, justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju untuk memperkenalkan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang akan disiarkan secara langsung.
“Melalui taklimat ini, Pejabat Perdana Menteri akan menjelaskan isu-isu semasa, dasar-dasar penting serta perkembangan terkini yang perlu diketahui oleh rakyat.
“Ini juga merupakan langkah penting untuk menangkis penyebaran fitnah serta maklumat palsu yang mengelirukan masyarakat.
“Inisiatif ini juga selaras dengan gagasan Madani yang menjunjung tinggi ketelusan antara pentadbiran dan rakyat, di samping membudayakan amalan menyemak kebenaran sesuatu maklumat melalui sumber yang sahih dan tepat,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri, semalam.
Tunku Nashrul berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Pejabat Perdana Menteri percaya bahawa komunikasi jelas, keterbukaan dalam pentadbiran dan pengukuhan nilai-nilai spiritual adalah elemen penting untuk mewujudkan kepercayaan antara rakyat dan kerajaan.
“Pejabat Perdana Menteri mengajak semua pihak untuk bersama-sama menyokong dan menyertai inisiatif-inisiatif ini, demi kebaikan dan kemajuan negara kita. Marilah kita jadikan Ramadan ini sebagai bulan islah yakni pembaharuan dalam komunikasi, pentadbiran, dan kehidupan.
“Sebelum mengakhiri taklimat hari ini, saya mewakili Perdana Menteri dan keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Perdana Menteri akan turun padang ke seluruh negara sepanjang Ramadan bagi bertemu masyarakat serta memperkukuhkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Selain itu, Perdana Menteri juga akan mengunjungi pelbagai kementerian untuk menyantuni penjawat awam diikuti sesi tazkirah ringkas yang disampaikan oleh beliau sendiri serta penceramah jemputan.
Katanya, Perdana Menteri melaksanakan Program Ihya’ Ramadan di kementerian-kementerian, yang mana program itu bertujuan menjadikan Ramadan sebagai madrasah rohani, bukan sahaja dalam aspek ibadah, tetapi juga pembentukan nilai dan akhlak dalam pentadbiran negara.
“Melalui program ini, nilai-nilai seperti kejujuran, disiplin, dan tanggungjawab dapat diperkukuh dalam kalangan penjawat awam, selaras dengan teras Kesejahteraan dalam gagasan Madani.
“Perdana Menteri juga telah bersetuju untuk turun ke beberapa negeri sepanjang bulan Ramadan bagi memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, selain bertemu masyarakat dalam Majlis Berbuka Puasa Madani,” katanya.
Katanya, butiran lanjut mengenai tarikh dan lokasi spesifik bagi setiap majlis akan diumumkan dalam masa terdekat melalui saluran rasmi kerajaan.
“Pejabat Perdana Menteri menggalakkan semua rakyat untuk mengambil bahagian dalam majlis-majlis ini sebagai tanda kebersamaan dan perpaduan,” katanya. – MINGGUAN










