KOTA BHARU: Syarikat bas ekspres, Konsortium E-Mutiara Bhd. (E-Mutiara) mengambil tindakan drastik dengan menggantung serta-merta tugas pemandunya selepas dikesan memandu secara berbahaya di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, malam kelmarin.
Pengerusinya, Che Ibrahim Che Ismail berkata, pada masa sama syarikat akan membuat keputusan susulan, selepas siasatan lanjut berhubung perkara tersebut siap sepenuhnya.
“Tindakan segera diambil selepas melihat video tersebut yang tular. Pemandu berkenaan yang berusia 40-an itu sudah berkhidmat dengan syarikat kami lebih setahun.
“Walaupun dia merayu atas tindakannya yang tidak sabar semasa memandu, namun kita sudah ambil tindakan segera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Che Ibrahim memberitahu, beliau juga sudah menghubungi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya menggantung lesen atau membatalkan lesen pemandu terlibat.
Terdahulu, tular satu rakaman memaparkan tindakan pemandu bas ekspres E-Mutiara yang memandu dalam keadaan berbahaya dengan memotong di laluan berkembar.
Tindakan itu menimbulkan pelbagai respons dalam kalangan pengguna di platform TikTok. – UTUSAN