Negara serantau tawar bantuan kepada Myanmar, Thailand

Negara serantau tawar bantuan kepada Myanmar, Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Beberapa negara Asia menyatakan solidariti kepada Myanmar dan Thailand yang dilanda gempa bumi dahsyat semalam, termasuk menawarkan bantuan kemanusiaan.

Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan simpati dengan kejadian gempa bumi terburuk yang melanda wilayah tengah Myanmar dan utara Thailand hingga mengakibatkan kerosakan teruk pada infrastruktur.

“Atas nama Malaysia, saya menyampaikan takziah kepada semua yang kehilangan orang tersayang, serta doa kami buat yang cedera dan kehilangan tempat tinggal. Malaysia berdiri teguh dalam solidariti dengan jiran kita dan negara-negara anggota ASEAN,” tulisnya di platform X.

Anwar juga menawarkan bantuan kemanusiaan dan menyatakan kesediaan Malaysia untuk menyokong usaha bantuan mengikut keperluan.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto turut menyampaikan takziah kepada Myanmar dan Thailand, sambil menegaskan Jakarta bersama kedua-dua negara dalam menghadapi saat sukar tersebut.

“Indonesia bersedia memberikan segala sokongan yang diperlukan untuk pemulihan di kawasan terjejas,” katanya.

Menteri Luar Australia, Penny Wong, turut menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan negara itu sedang bekerjasama dengan rakan serantau dan kemanusiaan dalam operasi bantuan.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, pada Jumaat menyatakan New Delhi bersedia memberikan bantuan.

“Saya prihatin dengan keadaan selepas gempa bumi di Myanmar dan Thailand. Berdoa untuk keselamatan dan kesejahteraan semua. India bersedia memberikan segala bantuan yang mungkin.

“Saya telah meminta pihak berkuasa kami bersedia, dan Kementerian Luar Negeri (MEA) untuk terus berhubung dengan kerajaan Myanmar dan Thailand,” tulis Modi di X.

Menteri Luar New Zealand, Winston Peters serta Kementerian Luar Pakistan turut menyampaikan ucapan takziah.

“Kami sedih mendengar berita menyayat hati tentang gempa bumi dahsyat yang melanda Myanmar, Thailand, dan negara jiran. Ingatan kami bersama semua yang terjejas, dan kami berdoa untuk mereka yang cedera agar cepat sembuh,” menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, turut menyampaikan takziah kepada kerajaan dan rakyat di rantau itu.

“Sistem PBB di rantau ini sedang bergerak untuk membantu mereka yang memerlukan,” kata Guterres di X.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 144 orang maut dan ratusan cedera di Myanmar, manakala enam orang terbunuh dan 117 lagi terperangkap atau hilang di Thailand selepas sebuah bangunan pencakar langit runtuh di Bangkok.

Kejadian itu berikutan gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 yang berpusat di wilayah Sagaing, Myanmar, pada Jumaat.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gegaran pertama diikuti gempa kedua bermagnitud 6.4 selepas 12 minit.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN