YANGON: Beberapa negara termasuk Russia, India, Malaysia dan Singapura menghantar pesawat yang membawa bekalan bantuan serta pasukan penyelamat ke Myanmar.
Kementerian Kecemasan Russia menghantar dua pesawat yang membawa 120 anggota penyelamat dan bekalan bantuan, lapor agensi berita Tass.
India turut menghantar pasukan penyelamat dan perubatan serta bekalan keperluan asas lain bagi membantu mangsa gempa bumi di Myanmar.
Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia mengumumkan penghantaran 50 anggota pada Ahad untuk membantu mengenal pasti kawasan paling teruk terjejas dan menyalurkan bantuan mengikut keperluan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperuntukkan AS$5 juta (RM22 juta) untuk memulakan usaha bantuan kemanusiaan di negara itu.
Amerika Syarikat (AS), yang mempunyai hubungan tegang dengan tentera Myanmar dan mengenakan sekatan terhadap pegawai serta Hlaing, turut mengumumkan kesediaan memberikan bantuan.
Pemotongan bajet terhadap Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) memaksa PBB dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghentikan banyak program bantuan di Myanmar.
India, Perancis dan Kesatuan Eropah (EU) turut menawarkan bantuan, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggerakkan usaha menyediakan bekalan perubatan bagi kecederaan trauma.
Media negara China melaporkan, Beijing bersedia memberikan bantuan yang diperlukan untuk menyokong penduduk di kawasan terjejas bencana.
Akibat gempa bumi dahsyat yang melanda Myanmar, pemerintah junta mengisytiharkan darurat di enam wilayah paling teruk terjejas, sementara petugas perubatan di sebuah hospital utama di Naypyidaw terpaksa merawat mangsa di kawasan terbuka.– THE GUARDIAN










