PETALING JAYA: Kerajaan dicadang mempertimbangkan menetapkan caj konsultasi klinik swasta selaras dengan caj konsultasi pegawai perubatan (MO) jabatan kecemasan hospital swasta iaitu pada julat antara RM30 hingga RM125.
Caj konsultasi MO jabatan kecemasan hospital swasta itu ditetapkan oleh kerajaan pada tahun 2013.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, pada tahun 2015, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada ketika itu menyatakan bahawa caj konsultasi klinik swasta harus diselaraskan pada julat sama.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaannya tertangguh atas sebab bukan teknikal dan tidak pernah dikuatkuasakan sehingga hari ini.
“Dalam sesi libat urus bersama Menteri Kesihatan dan pegawai kementerian, MMA telah membangkitkan isu ini.
“MMA dimaklumkan bahawa kementerian, buat pertama kali, sedang bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan menjalankan simulasi indeks harga pengguna untuk menentukan caj konsultasi klinik swasta yang disyorkan.
“MMA berharap kerajaan mengambil kira sejarah yang dinyatakan serta hakikat bahawa ini adalah pelarasan pertama selepas 33 tahun. Ia harus mempertimbangkan faktor kenaikan kos operasi, sambil memastikan akses pesakit kepada perkhidmatan penjagaan primer yang berpatutan tetap terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan bagi menjawab pertanyaan Utusan Malaysia berhubung semakan caj konsultasi yang sedang dilaksanakan KKM.
Dr. Kalwinder berkata, pihaknya berharap semakan semula ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan dilaksanakan dalam beberapa bulan akan datang.
Katanya, dalam pertemuan dengan Menteri Kesihatan dan KKM sebelum ini juga, MMA mencadangkan agar mekanisme penyesuaian kadar berkala diwujudkan bagi mengelakkan kelewatan panjang dalam semakan kadar konsultasi klinik swasta di masa hadapan.
“Caj konsultasi tidak seharusnya bergantung kepada pertimbangan politik, tetapi perlu dikaji secara berkala berdasarkan faktor ekonomi dan kadar inflasi.
“Semakan yang berstruktur setiap tiga tahun, dengan pelarasan sekitar 10 peratus sejajar dengan inflasi tahunan sekitar tiga peratus, akan memastikan keadilan dan kemampanan dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, seruan MMA dan semua doktor am untuk semakan ini bukan bertujuan menaikkan harga secara mendadak, tetapi memastikan pelarasan yang adil dan mampan bagi mencerminkan realiti kos operasi sambil mengekalkan kemampuan bagi pesakit.
“Isu kritikal yang turut perlu ditangani adalah peranan Pentadbir Pihak Ketiga (TPA), kerana 65 peratus pesakit di kawasan bandar menerima manfaat penjagaan kesihatan melalui kontrak korporat ini.
“Ramai doktor klinik swasta terikat dengan kontrak TPA iaitu mengenakan caj pentadbiran tinggi dan kadar konsultasi tetap yang rendah.
“Ditambah pula dengan kelewatan pembayaran, ini semakin membebankan daya tahan kewangan klinik swasta,” katanya. – UTUSAN










