Mahkamah Israel kekal perintah tahanan pengarah hospital Gaza

Mahkamah Israel kekal perintah tahanan pengarah hospital Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Mahkamah Israel mengekalkan perintah tahanan terhadap Pengarah Hospital Kamal Adwan di Gaza, Dr Hussam Abu Safiya selama enam bulan.

Pejabat Penerangan Banduan, yang bernaung di bawah Hamas, dalam kenyataan berkata, Mahkamah Beersheba semalam mengekalkan penahanan Hussam untuk tempoh enam bulan.

Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan.

Israel menahan Hussam, 52, pada akhir Disember lalu selepas menyerbu Hospital Kamal Adwan di utara Gaza.

Beliau diheret keluar secara paksa dengan ancaman senjata selepas hospital itu dimusnahkan dan tidak lagi beroperasi.

Di bawah Undang-Undang Pejuang Melanggar Undang-Undang 2002 Israel, pihak berkuasa boleh menahan rakyat Palestin tanpa pertuduhan atau perbicaraan adil berdasarkan fail rahsia.

Tindakan itu semakin kerap digunakan terhadap penduduk Gaza sejak 2005, tanpa hak untuk semakan kehakiman.

Hussam terkenal di peringkat antarabangsa kerana peranan kemanusiaannya semasa perang genosid di Gaza, di mana beliau terus berkhidmat menyelamatkan nyawa orang awam di tengah peningkatan serangan Israel.

Gambar penahanannya, menunjukkan beliau memakai seragam putih doktor berjalan sendirian dikelilingi kenderaan tentera Israel.

Menurut keluarga dan peguamnya, beliau diseksa dengan teruk dan dibiarkan kelaparan di dalam tahanan Israel.

Penderitaan Hussam bertambah apabila anak lelakinya, Ibrahim, terbunuh dalam serangan Israel di hospital itu pada Oktober tahun lalu.

Sebulan kemudian, beliau sendiri cedera dalam serangan udara Israel ke atas hospital tetapi enggan berundur dan terus merawat pesakit sehingga ditangkap.

Lebih daripada 50,100 rakyat Palestin terbunuh dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala lebih 113,700 cedera dalam serangan ganas tentera Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November lalu terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ekoran perangnya di wilayah tersebut.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×