DAMSYIK: Letupan besar yang dipercayai berpunca daripada seorang peniaga besi buruk yang mengendalikan bom lama, mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang di Syria.
Letupan di bandar Mediterranean, Latakia, semalam meranapkan sebuah bangunan empat tingkat, menyebabkan runtuhan konkrit besar yang menghempap penduduk di rumah mereka.
Pasukan penyelamat giat mengeluarkan mayat mangsa, termasuk lima kanak-kanak, selain mencari mereka yang masih terselamat.
Pasukan pertahanan awam Syria mengesahkan 16 maut akibat letupan di sebuah kedai perkakasan yang terletak di blok pangsapuri tersebut.
“Pencarian dan operasi menyelamat masih diteruskan bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap,” katanya dalam hantaran di Telegram, sambil melaporkan sekurang-kurangnya 18 cedera.
Imej daripada agensi berita Syria, SANA, menunjukkan kepulan asap dari kawasan padat Al-Rimal di selatan Latakia, serta timbunan runtuhan di lokasi bangunan yang musnah.
Agensi berita itu melaporkan seorang peniaga besi buruk mengendalikan bom yang tidak meletup dalam usaha untuk mendapatkan logam.
Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berpangkalan di Britain turut menyifatkan letupan itu sebagai kemalangan.- AFP










