Korban banjir meningkat, Argentina umum tiga hari berkabung

Korban banjir meningkat, Argentina umum tiga hari berkabung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUENOS AIRES: Argentina mengumumkan tiga hari berkabung selepas jumlah kematian akibat banjir kilat meningkat kepada 16 orang, dengan beberapa lagi mangsa masih hilang.

Banjir pada Jumaat melanda apabila taburan hujan setahun turun dalam masa beberapa jam di sekitar Bahia Blanca, sebuah bandar pelabuhan utama di selatan wilayah Buenos Aires, menyebabkan seluruh kawasan kejiranan ditenggelami air.

Negara Amerika Latin itu dikejutkan dengan laporan tragis mengenai dua kanak-kanak perempuan berusia satu dan lima tahun yang dihanyutkan arus deras.

Menteri Keselamatan Wilayah, Javier Alonso mengesahkan kehilangan mereka semalam, dengan menyatakan dua beradik itu bersama ibu mereka memanjat bumbung van untuk menyelamatkan diri.

Namun, arus deras menghanyutkan kedua-dua mangsa, manakala ibu mereka berjaya diselamatkan.

Sementara itu, Datuk Bandar Bahia Blanca, Federico Susbielles memberitahu sidang media bahawa banjir tersebut menyebabkan kerosakan infrastruktur bernilai AS$400 juta (RM1.7 bilion).

“Terdapat 16 kematian yang disahkan, tetapi jumlahnya mungkin bertambah sementara usaha menyelamat masih diteruskan,” katanya menerusi kenyataan berasingan di X.

Ribut turut menyebabkan sebahagian besar kawasan pantai sekitar terputus bekalan elektrik.

Presiden Argentina, Javier Milei akan mengisytiharkan tiga hari berkabung negara bagi memperingati mangsa korban, kata pejabatnya semalam, tanpa menyatakan tarikh permulaan tempoh itu.

“Semua agensi kerajaan akan menumpukan usaha untuk membantu mangsa dalam saat yang penuh duka bagi seluruh rakyat Argentina,” menurut kenyataan rasmi presiden.

Kerajaan juga meluluskan bantuan kecemasan untuk pembinaan semula berjumlah 10 bilion peso (RM40.6 juta).- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN