Kesempitan hidup, OKU pilih 'bertahan' di rumah runtuh

Kesempitan hidup, OKU pilih ‘bertahan’ di rumah runtuh

NORAINI Nawi (kiri) bersama kakaknya hanya mampu termenung memikirkan masa depan selepas rumah mereka runtuh dihanyutkan arus deras semasa banjir di Kampung Jubakar Pantai, Tumpa, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Selepas tiga bulan ‘tsunami kecil’ membadai Kampung Jubakar Pantai di sini, akibat limpahan air Sungai Golok, hujan lebat dan fenomena air pasang besar, seorang ibu tunggal bersama dua anak serta kakaknya orang kurang upaya (OKU) memilih untuk terus ‘bertahan’ walaupun sebahagian rumahnya sudah runtuh.

Meskipun berdepan risiko keselamatan, Noraini Nawi, 38, terpaksa membuat keputusan itu selepas tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk membaik pulih rumah tersebut.

“Dengan kudrat yang ada ketika ini agak sukar untuk saya mengumpulkan wang. Membuatkan saya lebih buntu, keadaan rumah sangat teruk terutama bahagian dapur yang semakin terhakis selain senget.

“Setiap malam berlaku air pasang besar dan jika ia berterusan berkemungkinan tinggi rumah ini boleh runtuh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Bercerita lebih lanjut, Noraini memberitahu, sejak motosikal peninggalan suaminya dihanyutkan arus deras dia hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga.

Katanya, sebelum ini dia menggunakan motosikal tersebut untuk mengambil upah menghantar kuih-muih di kedai-kedai kopi berhampiran dengan rumah.

“Bagi meneruskan kelangsungan hidup, ketika ini saya terpaksa mengambil upah mengasuh dengan bayaran RM400 sebulan.

“Wang itulah saya gunakan untuk menyara kakak dan dua anaknya masing-masing berusia 14 serta 11 tahun,” ujarnya.

Noraini berkata, dia merayu pihak berkenaan supaya dapat membantu membaik pulih rumahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN