BEIRUT: Israel melancarkan serangan udara di Beirut buat pertama kali pada Jumaat, sejak menandatangani gencatan senjata dengan Hezbollah November lalu.
Kepulan asap tebal kelihatan dari lokasi serangan di pinggir selatan Dahiyeh, dengan penduduk melaporkan bunyi letupan dapat didengar hingga ke pergunungan di sekitar ibu negara Lubnan.
Serangan itu berisiko mencetuskan semula ketegangan antara Hezbollah dan Israel, yang sebelum ini mencapai gencatan senjata pada 27 November tahun lalu.
Sebelum pengeboman, tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan dan memberi amaran akan menyerang sebuah bangunan di Dahiyeh.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa menyasarkan serangan di tapak infrastruktur Hezbollah yang digunakan untuk menyimpan dron Unit Udara Hezbollah (127) di kawasan Dahiyeh, kubu kuat kumpulan itu di Beirut.
IDF turut menuduh Hezbollah secara sistematik menyembunyikan infrastruktur pengganas dalam kalangan penduduk awam Lubnan sebagai perisai manusia.
Kerajaan Lubnan turut menggantung sesi persekolahan pada Jumaat, susulan arahan pemindahan Israel di selatan Beirut, lapor agensi berita negara, NNA.
Serangan itu berlaku selepas tentera Israel menuduh Hezbollah melancarkan dua roket dari Lubnan, dakwaan yang dinafikan oleh kumpulan tersebut dan menegaskan komitmennya terhadap gencatan senjata.- AGENSI










