RAMALLAH: Kementerian Kewangan Palestin mendedahkan Israel menahan hampir AS$2 bilion (RM8.8 bilion) hasil cukai Palestin sejak 2019.
Kementerian dalam kenyataan menyifatkan tindakan Israel sebagai pelanggaran secara terang-terangan terhadap semua perjanjian yang ditandatangani.
Hasil kutipan itu merangkumi cukai dan duti kastam yang dikenakan ke atas barangan diimport ke wilayah Palestin, sama ada melalui Israel atau pusat pemeriksaan sempadan termasuk darat laut dan udara.
Menurut Perjanjian Oslo yang ditandatangani antara Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Israel pada 1993, rejim bertanggungjawab untuk memungut dana dan memindahkannya setiap bulan kepada kerajaan Palestin, dengan menolak yuran pentadbiran sebanyak tiga peratus untuk menampung kos pungutan.
Kementerian Kewangan Palestin berkata, Israel menahan kira-kira tujuh bilion shekel (sekitar RM8.8 bilion) dari 2019 hingga Februari lalu.
Menurut kenyataan kementerian, jumlah potongan Israel daripada hasil cukai sejak 2012 hingga Februari lalu mencecah AS$5.6 bilion (RM24.7 bilion).
Kementerian itu menganggap tindakan Israel yang terus menahan dana tersebut sebagai melanggar perjanjian yang memberi kesan langsung kepada ekonomi Palestin dan kehidupan rakyatnya.
Kerajaan Palestin berkata, dengan kerjasama rakan kongsi antarabangsa dan pihak berkepentingan, ia terus mendesak hasil cukai itu diserahkan, termasuk menamatkan dasar haram pemotongan dana rakyat.
23 Mei tahun lalu, Bank Dunia memberi amaran Pihak Berkuasa Palestin berisiko mengalami krisis kewangan.- ANADOLU










