GAZA: Israel menyekat 82 peratus pergerakan bantuan kemanusiaan di Gaza antara 18 hingga 24 Mac lalu, menurut Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
OCHA melaporkan, 40 daripada 49 cubaan organisasi kemanusiaan untuk menyelaraskan pergerakan dengan pihak berkuasa Israel dalam tempoh tersebut ditolak, sambil memaklumkan tugas kritikal seperti mengambil bekalan penting atau mengisi bahan api untuk kedai roti disekat.
Lima daripada tujuh percubaan tersebut ditolak pada Isnin, manakala enam daripada sembilan permohonan ditolak pada Selasa, jelas OCHA.
Kini sudah lebih tiga minggu Israel mengenakan sekatan menyeluruh ke atas semua bantuan yang memasuki Gaza, termasuk makanan, bahan api dan ubat-ubatan, menyebabkan seluruh penduduk Gaza di ambang kebuluran.
Israel turut dikutuk dan dituduh menggunakan kelaparan sebagai senjata perang.
OCHA berkata, ia merupakan sekatan paling lama sejak Oktober 2023, dan memberi amaran kemajuan yang dicapai semasa gencatan senjata untuk menyokong mangsa kini terhapus.
OCHA juga mendedahkan laporan baharu mengenai serangan terhadap pekerja kesihatan, ambulans dan hospital, serta memberi amaran tentang ratusan mangsa, penurunan mendadak stok perubatan dan kekurangan peralatan, unit darah serta tenaga kerja sejak gencatan senjata berakhir.
“Tiada sesiapa yang selamat. Dunia mesti mempunyai toleransi sifar terhadap kekejaman,” tegas agensi PBB itu.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, hampir 800 rakyat Palestin terbunuh di Gaza dalam beberapa hari kebelakangan ini selepas serangan Israel disambung semula pada 18 Mac.
Dalam minggu lalu sahaja, lapan pekerja bantuan terbunuh dalam serangan Israel di Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan yang terbunuh di Gaza kepada 399. Bilangan itu termasuk sekurang-kurangnya 289 kakitangan PBB, kata OCHA. – AGENSI










