Israel ‘main tarik tali’ fasa kedua gencatan senjata Gaza

Israel ‘main tarik tali’ fasa kedua gencatan senjata Gaza

RAKYAT Palestin berkumpul untuk berbuka puasa bersama di tengah-tengah runtuhan bangunan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Israel bersetuju dengan cadangan untuk melanjutkan gencatan senjata di Gaza buat sementara waktu, sebagai langkah peralihan selepas perjanjian fasa pertama dengan Hamas berakhir.

Cadangan yang dikemukakan oleh utusan Asia Barat Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff itu akan dijalankan sepanjang Ramadan dan perayaan Paskah masyarakat Yahudi hingga pertengahan April, menurut kenyataan pejabat perdana menteri Israel yang dikeluarkan sejurus selepas tengah malam.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas tamat pada hujung minggu tanpa sebarang kepastian mengenai fasa kedua, yang diharap dapat menamatkan perang Gaza secara kekal.

Rundingan setakat ini tidak mendapat kata putus yang jelas, dengan nasib tebusan yang masih ditahan di Gaza dan nyawa lebih dua juta rakyat Palestin terus menjadi tanda tanya.

Menurut kenyataan Israel, lanjutan itu akan menyaksikan separuh daripada tebusan yang masih di Gaza dibebaskan pada hari perjanjian itu berkuat kuasa, dengan selebihnya akan dibebaskan pada penghujung jika persetujuan dicapai mengenai gencatan senjata kekal.

Sokongan Israel terhadap rancangan AS itu hadir berikutan gesaan dunia agar perang tidak dimulakan selepas 15 bulan serangan kejam menghancurkan Gaza, mengusir hampir keseluruhan penduduk di kawasan pantai dan mencetuskan krisis kebuluran.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran terhadap ‘malapetaka’ lebih besar yang boleh berlaku jika perang diteruskan dan menegaskan gencatan senjata kekal serta pembebasan semua tebusan adalah penting untuk mengelakkan kesan lebih dahsyat kepada orang awam.

Pegawai Israel dilaporkan terlibat dalam rundingan gencatan senjata dengan pengantara Mesir, Qatar dan AS di Kaherah, minggu lalu.

Namun, pada awal Sabtu, tiada tanda-tanda kata sepakat dicapai ketika umat Islam di Gaza menyambut hari pertama Ramadan, dengan lampu berwarna-warni menerangi kawasan yang musnah akibat perang.

Seorang pegawai kanan Hamas memberitahu, kumpulan pejuang Palestin bersedia untuk membebaskan semua tebusan yang tinggal dalam satu pertukaran semasa fasa kedua.

“Hamas tidak akan gembira untuk melanjutkan fasa pertama tetapi ia tidak benar-benar mempunyai kapasiti untuk memaksa Israel beralih ke fasa dua,” kata Penganalisis Kumpulan Krisis Antarabangsa, Max Rodenbeck.

VIDEO TEBUSAN HAMAS

Di bawah gencatan senjata selama enam minggu yang berkuat kuasa pada 19 Januari, Hamas membebaskan 25 tebusan yang masih hidup dan memulangkan mayat lapan kepada Israel sebagai pertukaran untuk ratusan tahanan Palestin.

Walaupun Hamas berulang kali menyatakan kesediaannya untuk terlibat dalam rundingan bagi fasa kedua, Israel lebih memilih untuk mendapatkan lebih banyak pembebasan tebusan secara berperingkat menerusi lanjutan fasa pertama.

Sumber Palestin yang rapat dengan rundingan itu memaklumkan, Israel mencadangkan untuk melanjut fasa pertama dalam selang seminggu berturut-turut dengan tujuan untuk melakukan pertukaran tebusan dengan tahanan setiap minggu.

Namun, Hamas menolak rancangan itu dan menawarkan untuk membebaskan semua baki tebusan dalam satu fasa kedua gencatan senjata.

Daripada 251 tebusan yang diculik semasa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, 58 tebusan kekal di Gaza, termasuk 34 yang dikatakan tentera Israel sudah meninggal dunia.

Kelmarin, sayap bersenjata Hamas mengeluarkan rakaman video menunjukkan sekumpulan tebusan Israel di Gaza, disertai dengan mesej ‘Hanya perjanjian gencatan senjata yang akan membawa mereka pulang dengan selamat’.

Video berdurasi tiga minit itu menunjukkan perpisahan penuh emosi antara warga Israel-Argentina, Yair Horn dan abangnya, Eitan, yang mencadangkan bahawa rakaman itu dibuat sejurus sebelum pembebasan Yair pada 15 Februari.

Dalam video itu, Eitan Horn menyampaikan mesej daripada Hamas yang menggesa kerajaan Israel supaya menandatangani fasa kedua perjanjian gencatan senjata dan membawa mereka pulang.

“Bawa semua orang keluar dan jangan pisahkan keluarga,” katanya.

Ia kemudian disusuli dengan bunyi detik jam dan imej pemasa pasir berserta mesej masa semakin suntuk.

Pejabat Netanyahu menggelarnya sebagai propaganda kejam tetapi kumpulan kempen Israel, Forum Tebusan dan Keluarga Hilang berkata, keluarga Horn memberi kebenaran untuk rakaman dua beradik itu diterbitkan.

Yair Horn, warga Israel-Argentina dibebaskan pada 15 Februari tetapi abangnya Eitan kekal dalam tahanan di Gaza.

“Kami menuntut pembuat keputusan untuk melihat melihat Eitan di matanya. Jangan hentikan perjanjian yang membawa berpuluh-puluh tebusan kembali kepada kami.

“Masa mereka semakin suntuk! Bawa pulang semua orang sekarang, dalam satu fasa,” kata keluarga Horn dalam satu kenyataan.

PAKATAN NETANYAHU GOYAH

Pertimbangan politik domestik dipercayai menjadi faktor utama keengganan Netanyahu untuk memulakan peringkat kedua yang dirancang.

Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich yang juga ketua puak sayap kanan dalam gabungan pemerintah, telah mengancam untuk meletak jawatan jika perang tidak diteruskan.

“Kerajaan Israel boleh tumbang jika kita memasuki fasa dua,” kata Ketua Perisikan untuk Perundingan Pengurusan Risiko Le Beck International, Michael Horowitz.

Israel memberi alasan perlu mengekalkan tentera di sempadan Gaza dan sepanjang sempadan Mesir untuk menghentikan penyeludupan senjata oleh Hamas.

Menurut PBB, gencatan senjata telah membolehkan lebih banyak bantuan mengalir ke Semenanjung Gaza, di mana sekitar 70 peratus bangunan rosak atau musnah.-AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN