PETALING JAYA: Iskandar Investment Berhad (IIB) meraih pengiktirafan 5-Berlian bagi pembangunan Daerah Pusat Perniagaan Karbon Sifar Bersih (NZCC) menerusi pelan induk Medini Innopolis, di Iskandar Puteri, Johor.
Pengiktirafan di perolehi dalam majlis Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC2030C) yang berlangsung di Kuala Lumpur minggu ini.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Dato’ Idzham Mohd Hashim, anugerah itu merupakan inisiatif nasional bertujuan mempercepatkan transformasi Malaysia ke arah pembangunan bandar rendah karbon.
Katanya, 70 peratus daripada pelepasan gas rumah kaca (GHG) disumbang oleh kawasan bandar, menjadikan ia sebagai pemacu utama dalam menggalakkan pendekatan lestari.
”Ia mendorong penerapan strategi rendah karbon yang merangkumi kecekapan tenaga, integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui, mobiliti mampan, serta perancangan bandar pintar.
“Semua elemen ini penting dalam membentuk persekitaran yang lebih hijau, berdaya tahan, dan mesra masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pengiktirafan ini bukan sekadar satu penghormatan, malah bukti kesungguhan IIB dalam merealisasikan sebuah metropolis inklusif dan mampan di Medini, Iskandar Puteri, Johor.
Katanya, menerusi Medini Innopolis, IIB mengorak langkah menjadikan Medini sebagai bandar masa depan yang berdaya saing, menggabungkan inovasi canggih, kelestarian alam, serta kemakmuran ekonomi.
”IIB berpandukan lima matlamat utama dalam pelan hala tuju nyahkarbon iaitu Tenaga, Ekonomi Kitaran, Mobiliti, Persekitaran Binaan, dan Biodiversiti-Penggunaan Tanah.
”Aspirasi kelestarian IIB tidak terhenti di Medini, malah hab pendidikan unggul di Johor, EduCity menjadi pusat kecemerlangan akademik dan berperanan penting dalam pembangunan modal insan masa depan,” katanya.
Selain anugerah terbabit, IIB menerima dua lagi pengiktirafan berlian iaitu pengktirafan 5-Berlian bagi Daerah Pusat Perniagaan Karbon Sifar Bersih Medini (NZCC) dan 2-Berlian bagi Kompleks 1 EduCity. – UTUSAN











