SINGAPURA: Seorang wanita dan teman lelakinya didakwa di Mahkamah Tinggi Singapura semalam, kerana mendera kanak-kanak berusia empat tahun sehingga mengakibatkan kematian.
Tertuduh Foo Li Ping, 29, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menyebabkan kematian anaknya, Megan Khung, lima tahun lalu.
Beliau didakwa menyebabkan kematian, penderaan kanak-kanak dan menghalang siasatan dengan melupuskan mayat.
Manakala, teman lelakinya, Wong Shi Xiang, 38, mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan membunuh, menghalang siasatan dengan melupuskan mayat serta penyalahgunaan dadah.
Khung dilaporkan meninggal dunia selepas Shi Xiang menumbuk perutnya pada 21 Februari 2020, dan mengabaikan mangsa daripada mendapatkan rawatan.
Bagi mengelakkan kematian Khung dikesan pihak berkuasa, pasangan terbabit bertindak membakar mayat kanak-kanak itu dalam tong yang ditempah khas.
Pendakwa raya memohon hukuman penjara 28 tahun hingga 30 tahun dan 15 hingga 17 sebatan terhadap Shi Xiang, manakala peguam bela, Vinit Chhabra merayu hukuman dikurangkan kepada penjara 20 hingga 22 tahun dengan 11 sebatan.
Sementara untuk Li Ping, pendakwa raya memohon penjara 15 hingga 20 tahun, dengan peguam bela, Cory Wong dan Josephus Tan merayu tidak lebih daripada 11 tahun.
Kedua-dua tertuduh ditetapkan untuk hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan hukuman pada 3 April depan.
Selain pasangan itu, rakan tertuduh yang didakwa bersubahat melupuskan mayat Khung, Nouvelle Chua Ruoshi, 35, turut didakwa di mahkamah.
Kematian kanak-kanak terbabit terbongkar selepas bapa kandungnya, Khung Wei Nan atau dikenali sebagai Simonboy membuat laporan polis pada Julai 2020 ekoran bimbang keselamatan anaknya.
Sebelum kematian tragis itu, mangsa turut dipukul dan disepak oleh pasangan tersebut, dibiarkan kelaparan, dipukul dengan paip sehingga rahangnya patah, malah tidak diberi pakaian dan dipaksa tidur di luar kondominium.– CNA










