PARIS: Agensi Angkasa Eropah (ESA) sedang merekrut sukarelawan untuk berbaring di atas katil air selama 10 hari sebagai sebahagian daripada kajian kesan graviti kepada tubuh manusia
Eksperimen yang dinamakan Vivaldi III itu dijalankan di Klinik Angkasa Medes di Hospital Universiti Toulouse, dan direka untuk meniru beberapa kesan penerbangan angkasa terhadap tubuh manusia.
“Semasa Vivaldi III, 10 sukarelawan berbaring di dalam bekas yang menyerupai tab mandi dan dilitupi dengan kain kalis air. Ini bagi memastikan mereka kekal kering dan terapung secara sekata di dalam air.
“Peserta direndam dan mengekalkan lengan serta kepala di atas air, memberikan mereka sensasi terapung tanpa sokongan fizikal, hampir sama seperti dialami angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
“Namun hanya satu kekurangan, pergi ke tandas. Peserta akan dipindahkan sementara ke troli sambil mengekalkan kedudukan berbaring sepanjang masa,” kata ESA.
Vivaldi III merupakan bahagian ketiga dan terakhir dalam eksperimen itu, yang bertujuan memahami kesan keadaan tanpa graviti terhadap tubuh manusia.
Eksperimen itu akan melibatkan 20 sukarelawan, tetapi malangnya ia hanya dibuka kepada lelaki.
Sukarelawan akan dimasukkan ke hospital selama 21 hari, di mana lima hari pertama digunakan untuk mengambil ukuran asas, manakala 10 hari berikutnya akan dihabiskan dengan berbaring di atas katil air.
Mereka yang terlibat masih dibenarkan membuat panggilan telefon dan video, namun dilarang menerima pelawat.
Kajian tersebut menawarkan bayaran sehingga 5,000 euro (RM24,270) kepada 20 peserta yang mengambil bahagian.– AGENSI










