GAZA: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mengancam untuk menakluk sebahagian wilayah Gaza jika pejuang Hamas tidak membebaskan baki tebusan yang masih ditahan di wilayah itu.
Ancaman itu dibuat ketika Israel meneruskan serangan baharu yang dilancarkan Selasa lalu, memecahkan ketenangan relatif sejak gencatan senjata pada 19 Januari.
“Saya mengarahkan (tentera) untuk merampas lebih banyak wilayah di Gaza.
“Semakin Hamas enggan membebaskan tebusan, semakin banyak wilayah yang akan hilang dan akan ditakluk oleh Israel,” kata Katz dalam kenyataan, kelmarin.
Jika Hamas bertegas tidak mematuhi tuntutan itu, Katz turut mengugut untuk memperluaskan zon penampan di sekitar Gaza bagi melindungi orang awam Israel dan askar dengan melaksanakan pendudukan tetap di kawasan tersebut.
Terdahulu, tentera Israel menggesa penduduk di kawasan Al-Salatin, Al-Karama dan Al-Awda di selatan Gaza supaya mengosongkan kediaman mereka sebelum serangan dilancarkan.
Sumber Palestin yang rapat dengan rundingan gencatan senjata memberitahu AFP, Hamas menerima cadangan daripada Mesir dan Qatar untuk memulihkan perjanjian serta menukar tebusan dengan tahanan Palestin, mengikut garis masa yang dipersetujui.
Sumber itu berkata, cadangan tersebut termasuk kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang terus disekat oleh Israel sejak 2 Mac.
Israel menyambung semula pengeboman besar-besaran terhadap Gaza, konon kebuntuan dalam rundingan tidak langsung mengenai peringkat seterusnya selepas fasa pertama gencatan senjata tamat bulan ini.
Agensi pertahanan awam wilayah itu melaporkan, serangan Israel pada Jumaat membunuh 11 orang, menjadikan jumlah kematian kini melebihi 500 orang sejak pengeboman disambung semula.– AFP










