KYIV: Kesilapan pertukaran hadiah yang dibawa oleh Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky kepada rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mungkin secara tidak sengaja mencetuskan pertelingkahan terbuka antara kedua-dua pemimpin itu.
Pertemuan di Rumah Putih pada bulan lalu bertukar tegang dan menjadi insiden dramatik yang mengejutkan dunia dan mengubah hubungan AS-Ukraine, melibatkan Zelensky, Trump serta Naib Presiden, JD Vance.
Kejadian itu akhirnya menyebabkan Zelensky diusir lebih awal sebelum sempat menghadiri sidang media bersama Trump seperti yang dirancang.
Zelensky, yang masih berusaha memulihkan hubungan sejak insiden itu, didakwa membawa hadiah berupa tali pinggang kejuaraan tinju kelas berat dunia milik sahabatnya, Oleksandr Usyk.
Beliau meletakkan tali pinggang itu di atas meja berhampiran siku kanan dan bercadang untuk menyerahkan kepada Trump, yang didakwa peminat tinju dan seni bela diri, di hadapan media.
Namun, Zelensky tanpa sengaja mencapai folder gambar yang menunjukkan kekejaman ngeri yang dialami rakyatnya akibat perang dengan Russia.
Pegawai AS memberitahu majalah Time bahawa gambar tersebut menyebabkan pertemuan itu menjadi semakin Trump, kerana Trump merasakan seolah-olah Zelensky cuba memalukan atau menyalahkannya di atas penderitaan rakyat Ukraine.
Zelensky mengaku beliau meninggalkan tali pinggang tersebut di atas meja di Pejabat Oval semasa beredar dan sehingga kini tidak pasti mengenai keadaannya.
Sumber Rumah Putih memberitahu Time, kakitangan akhirnya mengambil tali pinggang itu dan meletakkannya di ruang makan peribadi Trump bersama hadiah lain yang pernah diterimanya.
Pendedahan itu dibuat selepas rundingan selama 12 jam antara pegawai Russia dan AS mengenai gencatan senjata separa di Ukraine berakhir di Arab Saudi, ketika kedua-dua pihak berseteru melaporkan gelombang serangan baharu.– AGENSI










