THE HAGUE: Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, mendakwa akan bertanggungjawab sepenuhnya atas kempen perang terhadap dadah yang dilancarkan semasa pentadbirannya, menerusi satu mesej video di Facebook.
Video itu dimuat naik ketika beliau bersiap sedia menghadapi pertuduhan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda.
“Apa sahaja yang berlaku pada masa lalu, saya akan berada di barisan hadapan bersama pasukan penguatkuasaan undang-undang dan tentera.
“Saya sudah pun berkata bahawa saya akan melindungi anda dan saya akan bertanggungjawab atas segalanya,” kata Duterte.
Kenyataan itu merupakan yang pertama sejak beliau diterbangkan ke The Hague.
Duterte, 79, ditahan oleh ICC pada Rabu selepas ditangkap di Manila atas tuduhan pembunuhan berkaitan perang terhadap dadah, di mana ribuan individu didakwa pengedar dan pengguna dadah terbunuh.
Video dengan 10 juta tontonan itu hanya menunjukkan Duterte berpakaian kemeja putih polos berucap di depan kamera.
Rakaman tersebut dipercayai dibuat di dalam pesawat, dengan bunyi enjin kedengaran pada latar belakangnya.
“Ini akan menjadi proses perundangan yang panjang, tetapi saya akan terus berkhidmat untuk negara.
“Dan jika ini takdir saya, biarlah begitu. Saya okay, jangan risau,” kata Duterte dalam klip video berdurasi lebih dua minit itu.
Dalam satu kenyataan, ICC memaklumkan Duterte kini diserahkan kepada tahanan Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Beliau ditangkap oleh pihak berkuasa Filipina atas tuduhan pembunuhan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.
“Duterte akan dibawa di hadapan hakim ICC di The Hague dalam beberapa hari lagi.
“Beliau kini dipindahkan ke unit tahanan di pesisir pantai Belanda,” kata ICC.
Duterte, yang menerajui Filipina dari 2016 hingga 2022, akan berdepan dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan kerana tindakan kerasnya terhadap kempen memerangi dadah.
Beliau berkemungkinan menjadi bekas ketua negara Asia pertama yang dibicarakan di ICC.– AGENSI











