SUNGAI PETANI: Pemergian anak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar amat dirasai keluarga itu memandangkan Muhammad Darwisy satu-satunya anak lelaki mereka.
Isteri Baddrol, Nur Izyan Mustafa Khalid, 37, berkata, bagaimanapun mereka sekeluarga reda dan menerima ketentuan Allah yang lebih menyayangi Muhammad Darwisy.
“Anak kami dilahirkan pramatang dan sejak kecil dia didiagnos mengalami penyakit di bahagian jantung dan paru-paru serta memerlukan mesin sokongan untuk membantunya bernafas.
“Awal pagi tadi saya mendapati dia tidak memberi tindak balas ketika mahu memberi susu sebelum saya memaklumkan kepada suami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Muhammad Darwisy, 12 bulan, meninggal dunia pada pukul 3.15 pagi semalam di rumah mereka di Resort Homes Cinta Sayang, di sini.
Kata Nur Izyan, dia tidak sedap hati selepas suami memintanya bertenang kerana mendapati muka Muhammad Darwisy berubah kebiru-biruan sebelum pihak perubatan tiba.
“Bagaimanapun saya sebak selepas kakitangan Kementerian Kesihatan yang memeriksanya memaklumkan Muhammad Darwisy telah meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, anak lelaki bongsunya itu yang mempunyai kembar, Dhiya Dinara, perlu minum susu setiap tiga jam yang diberi menggunakan tiub khas.
“Walaupun dia mengalami masalah kesihatan, namun kami semua menyayanginya kerana dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga kami. Sejak dilahirkan pun dia sangat mudah dijaga dan diuruskan.
“Tiada kata-kata lain yang saya mampu ucapkan melainkan hanya berserah kepada Allah tambahan lagi dia meninggal dunia dalam bulan Ramadan yang mulia,” katanya.
Jenazah yang dimandi dan dikafankan di HSAH, disembahyangkan di Masjid Al-Muttaqin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Solihin di Taman Kelisa. – UTUSAN











