VLADIVOSTOK: Seorang lelaki Russia dikejarkan ke hospital akibat kegagalan buah pinggang selepas melakukan 2,000 senaman mencangkung atau squat selepas bertaruh dengan rakan.
Menurut doktor di Jabatan Nefrologi, Hospital Klinikal Vladivostok No. 2, lelaki berusia 20-an itu mengalami kerosakan buah pinggang yang serius akibat aktiviti fizikal melampau.
Mangsa memberitahu doktor masalahnya bermula selepas dia dicabar oleh seorang rakan untuk melakukan 2,000 squat dalam tempoh tertentu.
Yakin dengan kemampuan fizikal, dia menyahut cabaran itu dan berjaya menamatkannya.
Namun, tidak lama kemudian dia mula mengalami simptom yang membimbangkan apabila kakinya sakit dan bengkak luar biasa, manakala air kencingnya bertukar warna menjadi coklat gelap.
Keadaan menjadi semakin teruk apabila dia langsung tidak dapat membuang air kecil menyebabkan lelaki terbabit segera mendapatkan rawatan di hospital sebelum disahkan menghidap rhabdomyolysis.
Rhabdomyolysis adalah keadaan perubatan berbahaya yang menyebabkan tisu otot pecah dan memasuki aliran darah.
Jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang, masalah jantung, malah kematian.
Pemeriksaan menyeluruh mendapati buah pinggangnya hanya berfungsi pada tahap 50 peratus, namun doktor berjaya merawat kegagalan buah pinggang akut yang dialaminya tanpa memerlukan dialisis.
Bagaimanapun, organ lelaki itu masih mengalami kerosakan dan perlu menjalani rawatan pemulihan yang boleh mengambil masa antara tiga bulan hingga setahun.– AGENSI










