KUALA TERENGGANU: Bekas pemain Terengganu FC (TFC) dan T-Team, Fakhrurazi Musa mengambil peluang menjual baju Melayu dan samping di Terengganu Trade Center (TTC) di sini pada Ramadan tahun ini.
Fakhrurazi, 34, yang juga bekas pemain skuad Harimau Muda B menjalankan peniagaan tersebut buat pertama kali pada Ramadan ini bersama rakan kongsinya, Akraw Anwar, 27.
Katanya, perniagaan yang diceburi ini bertujuan menambah pendapatan selain bertemu bersama peminat bola sepak di negeri ini.
“Sebenarnya saya mula menjual pakaian ini secara dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tahun ini, kami ambil reruai kerana mahu rasakan suasana menjual dan melayan pelanggan,” katanya ketika ditemui di gerainya di TTC, semalam.
Fakhrurazi berkata, dia menjual dua jenis baju Melayu iaitu slim fit dan teluk belanga pelbagai saiz selain samping.
“Setiap baju Melayu slim fit yang dinamakan Muhammad Exclusive dan teluk belanga yang dikenali Luth dijual dengan harga RM95 (tanpa samping), RM99 bersama sampin biasa dan RM109 bersama sampin premium bagi orang dewasa dengan menawarkan saiz bermula daripada XS hingga 2XL.
“Saya turut menjual baju Melayu kanak-kanak dengan harga RM59 (satu tahun hingga lima tahun) dan RM79 untuk saiz enam hingga 12 tahun,” katanya yang menamatkan kariernya sebagai pemain bola sepak pada 2020.
Fakhrurazi berkata, dia menyasarkan menjual antara 500 hingga 1,000 pasang baju Melayu pada tahun ini.
Selain itu, tambahnya, pada masa sama, dia juga berniaga sebagai pembekal pakaian di negeri ini. – UTUSAN










