SEPANG: Kerajaan memperuntukkan RM2.7 bilion bagi meringankan beban rakyat menjelang Aidilfitri dalam bentuk Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara serta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang akan diagih mulai Isnin ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM1 bilion disalurkan kepada 1.7 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk pegawai/kakitangan lantikan kontrak, pegawai sambilan harian dan lantikan MySTEP yang bakal menerima RM500 seorang.
Pesara kerajaan termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), veteran berpencen serta veteran tidak berpencen pula bakal menerima RM250 seorang.
Sementara sebanyak RM1.7 bilion lagi akan mula diagihkan kepada sembilan juta penerima STR Fasa 2 bermula 24 Mac ini.
Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA, di sini semalam.
“Saya putuskan insya-Allah dalam minggu depan kita akan salurkan kepada Gred 56 (Gred 15 ke bawah) sebanyak RM500 bagi setiap penjawat awam.
“Manakala, untuk pesara RM250 termasuk veteran dan veteran tidak berpencen. Saya harap BKK ini akan dapat meringankan beban rakyat menjelang Aidilfitri ini,” katanya.
Anwar berkata, pertimbangan BKK Aidilfitri mencecah sekitar RM1 bilion itu dibuat selepas mengambil kira pertumbuhan ekonomi lebih baik dan sumbangan kerajaan lebih teratur dan berdisiplin.
“(Walaupun) ketirisan masih ada tetapi banyak dikawal oleh hasil kerajaan dan tatakelola yang lebih baik.
“Mengapa kita keras soal tatakelola dan elak ketirisan dan sebagainya kerana bila dapat hasil kita pulangkan balik kepada rakyat,” katanya.
Kerajaan sebelum ini berteka-teki mengenai penyaluran BKK Aidilfitri memandangkan penjawat awam sebelum ini telah menikmati pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) serta BKK sebanyak RM500 yang dibayar pada Februari lalu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hampir sembilan juta penerima STR yang terdiri daripada 60 peratus rakyat dewasa Malaysia bakal mendapat bantuan sehingga RM650.
“Kerajaan Madani kekal peka akan keperluan golongan terbanyak dalam mengharungi beban kos sara hidup, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Peningkatan peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun ini sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion adalah ikhtiar untuk meningkatkan martabat hidup rakyat secara saksama,” katanya.
Sementara itu, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan itu, penerima sedia ada dan baharu yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 2 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kelayakan STR masing-masing.
Katanya, pendekatan terkini kerajaan adalah membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun bagi memberi ruang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.
Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan. – UTUSAN










