Bahan mentah mahal paksa peniaga naikkan harga - Utusan Malaysia

Bahan mentah mahal paksa peniaga naikkan harga

PENIAGA lemang ketika ditemui di Pasar Tani Seksyen 17, Petaling Jaya. – UTUSAN/NUR EZZATUL HUSNA ZAINATUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permintaan dan harga bahan mentah yang tinggi sewaktu musim perayaan ini menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga jualan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, ramai peniaga di Pasar Tani Seksyen 17, Petaling Jaya menaikkan harga barang kerana mereka turut terkesan dengan peningkatan harga yang diberi oleh pihak pembekal.

Menurut peniaga lemang, Rozaimi, peningkatan harga buluh, daging dan santan secara mendadak menyebabkan harga jualan lemang dan rendang menjadi semakin mahal.

“Kalau dulu, buluh berharga 50 sen, kemudian naik seringgit, sekarang sudah mencecah RM2 sebatang, harga yang sama untuk saiz yang berbeza.

“Santan paling semakin mahal sekarang, sekali beli secara pukal, mencecah RM500 hingga RM600 untuk seminggu.

“Daging bahagian punggung (topside) tempatan gred AAA mencecah RM1,000. Oleh sebab itu saya jual sekilogram rendang daging RM90 berbanding dulu saya jual RM70,” katanya.

Bagi penjual daging, Syafiq Firdaus yang sudah berniaga selama lapan tahun berkata, harga daging kini mencecah RM39 sekilogram dan boleh naik sehingga RM45 sewaktu musim perayaan.

“Harga daging akan bertukar setiap lima ke enam tahun, kalau dulu saya jual RM15 satu kilo, sekarang boleh sampai RM39 untuk daging lembu tempatan,” katanya.

Sementara itu penjual ayam, Zulkifli Abdan berkata, harga ayam boleh mencecah RM10 sekilogram pada hari biasa dan naik 30 sen hingga 40 sen daripada harga asal pada musim perayaan.

“Kalau diikutkan, harga tahun lepas lagi mahal, pernah capai RM11.50 sekilo, tahun ini harga lebih stabil sedikit walaupun permintaan tinggi,” ujarnya.

Menurut penjual sayur-sayu­ran, Amirul Hakimi, 25, permintaan lobak merah adalah paling tinggi berbanding sayur-sayur lain dan turut terkesan dengan kenaikan harga barang import.

“Dulu lobak merah yang diimport daripada Australia hanya RM30 sekotak, sekarang musim raya cecah RM50. Kalau dulu kami jual RM6 sekilogram tetapi musim raya kami akur dengan harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya