WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, secara rasmi mengumumkan rancangan untuk menamatkan operasi Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID), sekali gus mengesahkan pemotongan besar dalam perbelanjaan bantuan asing.
Menurut kenyataan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, Jabatan Negara dan USAID memaklumkan kepada Kongres mengenai pelan penyusunan semula yang akan menyaksikan beberapa fungsi agensi tersebut akan diserap menjelang 1 Julai nanti.
Rubio turut menegaskan USAID sudah lama menyimpang daripada matlamat asalnya.
“Keuntungan yang diperoleh terlalu sedikit, sedangkan kos yang ditanggung terlalu tinggi,” ujarnya.
Sejurus selepas mengambil alih jawatan pada Januari lalu, Trump menandatangani perintah eksekutif bagi membekukan bantuan luar AS selama 90 hari, diikuti pemotongan drastik ke atas pelbagai program USAID, kecuali beberapa pengecualian untuk bantuan kemanusiaan penting.
Langkah itu mencetuskan kejutan dan kekecewaan dalam kalangan pegawai USAID serta pihak antarabangsa, memandangkan agensi yang ditubuhkan pada 1961 itu sebelum ini menguruskan bajet tahunan hampir AS$43 bilion (RM204 bilion) dan menyumbang lebih 40 peratus daripada jumlah bantuan kemanusiaan dunia.
Sementara itu, media AS melaporkan kebanyakan kakitangan USAID telah diberikan cuti pentadbiran sejurus selepas Trump memegang jawatan, dan dalam satu memo dalaman yang diedarkan pada Jumaat, Pemangku Ketua USAID, Jeremy Lewin, memaklumkan semua jawatan yang tidak diwajibkan oleh undang-undang akan dihapuskan.
Jabatan Negara juga dilaporkan merancang untuk menamatkan sebahagian besar operasi bebas USAID dalam tempoh beberapa bulan akan datang.- AFP










